Search

Hajiji cadang Muzium Mini Penjawat Awam Sabah

July 25, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Sebuah Galeri atau Muzium Mini Penjawat Awam dicadang diwujudkan bagi mengenang jasa dan mempamerkan pencapaian Perkhidmatan Awam Negeri di bawah setiap Setiausaha Kerajaan Negeri (SKN).

Mencadangkan perkara itu, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata galeri itu boleh mempamerkan segala dokumen, teks ucapan dan memorabilia berkaitan mantan SKN, termasuk rekod pencapaian dan kejayaan dari satu era ke satu era, sesuai dengan kepimpinan setiap SKN.

“Sudah pasti galeria ini boleh menjadi pusat rujukan untuk pembangunan sektor perkhidmatan awam, sekali gus sebagai pusat sumber bagi golongan pelajar dari peringkat menengah hinggalah ke peringkat pengajian tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Sanjungan Budi Tautan Legasi bekas SKN, Datuk Seri Safar Untong di Magellan Sutera Resort, di sini, malam tadi.

Ketua Menteri berkata jawatan SKN ini adalah jawatan tertinggi dalam perkhidmatan awam negeri.

“Sejak kita merdeka 63 tahun lalu, Sabah baru mempunyai 11 orang SKN, iaitu Robert Turner, Datuk John Dusing, Tan Sri Richard Lind, Tan Sri Abdul Hamid Egoh, Tan Sri Simon Sipaun, Tan Sri Datu Khalil Jamalul, Datuk KY Mustafa, Tan Sri Sukarti Wakiman, Datuk Seri Hashim Paijan, Datuk Seri Panglima Safar Untong dan terkini, Datuk Zainudin Aman.

“Setiap bekas SKN ini, mereka mempunyai kelebihan, kejayaan dan legasi mereka yang tersendiri. Maka pada malam ini kita meraikan legasi yang ditinggalkan oleh SKN ke-10 (Safar), setelah enam tahun tujuh bulan 24 hari beliau menggalas jawatan itu dengan warna-warni perjuangan bersama pimpinan negeri dan warga penjawat awam,” katanya.

Hajiji turut memberi pujian kepada Safar yang menurut beliau bukan saja berjaya menambah tahap kecekapan dalam perkhidmatan awam negeri, malah berupaya melakukan perubahan yang positif, selaras dengan perkembangan dan kemajuan teknologi maklumat selama memegang jawatan SKN.

“Beliau mengusahakan inisiatif pendigitalan dalam pentadbiran kerajaan dengan memperkenalkan Smart Digital Government atau Kerajaan Pintar Digital di dalam sistem penyampaian kerajaan.

“Satu usaha yang bukan sahaja wajar diteruskan, bahkan dinaik taraf dari semasa ke semasa sesuai dengan kehendak dan keperluan,” katanya.

Hajiji berkata memandangkan Safar berpengalaman luas dalam pentadbiran dan pengurusan, di samping kebolehannya dalam soal pembangunan tanah, maka beliau diberi peranan baharu sebagai Pengerusi Tanjung Aru Eco Development Sdn Bhd (TAED).

“Saya percaya syarikat kerajaan itu akan mendapat faedah yang besar daripada kepimpinan Datuk Seri Panglima Safar,” katanya.

Dalam pada itu, Hajiji bagi pihak pimpinan Kerajaan Negeri merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Safar atas jasa bakti dan sumbangan kepada Perkhidmatan Awam Negeri sebagai SKN. – Info X