PAPAR: Loji Rawatan Air (LRA) Kogopon berkapasiti 80 juta liter sehari (MLD) dan loji muka sauk Kabang yang baharu, di sini dijangka mula beroperasi masing-masing pada November dan Ogos tahun ini.
Kedua-dua projek itu dijangka dapat mengatasi masalah kekurangan bekalan air di kawasan Papar, Putatan dan Kimanis.
Sehubungan itu, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mengarahkan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) supaya memantau rapi kedua-dua projek berkenaan dan memastikan ia disiapkan tanpa sebarang kelewatan lagi.
Beliau turut menggesa jabatan itu supaya lebih proaktif dalam menangani isu gangguan bekalan air dengan menghantar lori tangki air ke kawasan terjejas, bukan sahaja di daerah ini tetapi juga di seluruh negeri.
“Masalah bekalan air adalah isu legasi, namun sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab kita komited untuk menyelesaikannya.
“Saya sendiri menerima banyak aduan. Saya berharap jabatan akan memberi perhatian serius terhadap semua isu ini dan memastikan rakyat tidak terus berdepan masalah bekalan air,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mendengar taklimat mengenai kedua-dua projek itu di Langkah Syabas Resort, Kinarut, dekat sini, pada Selasa.
Hadir sama Timbalan Ketua Menteri selaku Menteri Kerja Raya dan Utiliti, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup yang juga Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali.
Terdahulu, Pengarah JANS, Chee Chun Chieh, memaklumkan kepada Ketua Menteri bahawa LRA Kogopon bernilai RM365.9 juta dijadualkan mula membekalkan air menjelang akhir November depan.
Keseluruhan projek LRA Kogopon dijangka siap sepenuhnya pada 2028, namun Chee berkata loji itu dijangka mula membekalkan air bagi memenuhi keperluan di Papar, Putatan hingga Kimanis sebelum akhir tahun ini.
Mengenai loji muka sauk Kabang bernilai RM39.73 juta, Ketua Menteri dimaklumkan bahawa projek itu kini siap 90 peratus dan dijangka mula beroperasi pada September depan.
Loji muka sauk baharu itu, yang dijangka meningkatkan kapasiti daripada sembilan MLDkepada 30 MLD, dibina lebih jauh di hulu Sungai Papar di kawasan Kabang bagi mengatasi masalah kemasinan air yang kerap menjejaskan operasi Loji Rawatan Air di bawah Skim Bekalan Air Kecemasan (EWSS) serta kemudahan pengambilan air sedia ada di Limbahau.- Info X