Search

KASTAM SABAH RAMPAS SYABU BERNILAI RM1.888 JUTA

August 3, 2022

admin

KOTA KINABALU: Sebanyak 52 kilogram dadah jenis syabu atau Methampetamine bernilai RM1.888 juta dirampas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah dalam Operasi Khas Mekong Dragon Siri IV pada 28 Julai lalu.

Dalam operasi jam 12.12 tengah hari itu, semua dadah berkenaan dirampas dalam serbuan di sebuah rumah di ibu negeri ini.

Ketua Pengarah JKDM, Datuk Zazuli Johan berkata, serbuan turut menahan seorang lelaki berumur 37 tahun untuk siasatan lanjut.

“Siasatan awal mendapati modus operandi kes terbabit adalah dengan menjadikan rumah yang diserbu sebagai lokasi bagi menjalankan aktiviti pembungkusan dadah.

“Semua dadah terbabit dimasukkan ke dalam plastik the sebelum melalui proses kedap udara dengan jumlah berat tertentu.

“Dadah berkenaan kemudiannya disembunyikan di dalam kotak peralatan elektrik dapur dipercayai untuk tujuan mengaburi mata pihak berkuasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media di Dewan Sri Khazali, Menara Kastam, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Zazuli memaklumkan siasatan juga mendapati semua dadah itu dipercayai untuk kegunaan dalam serta luar negeri.

Bagaimanapun, menurutnya siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam pada itu, Zazuli berkata, ramai awam dinasihatkan agar tidak melibatkan diri dengan sebarang aktiviti penyeludupan yang bukan saja merugikan hasil negara tetapi turut mendatangkan ancaman keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat. –Info X