Search

BUNG SARAN WUJUDKAN PERATURAN TERTENTU BERKAITAN BUAYA

August 3, 2022

admin

KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin menyarankan agar kerajaan mengambil langkah mewujudkan peraturan tertentu bagi menangani isu buaya membabitkan beberapa buah sungai di Sabah khususnya Kinabatangan.

Bung Moktar berkata, langkah berkenaan adalah seperti dilaksanakan oleh kerajaan Sarawak yang membenarkan menangkap dan membunuh buaya secara berkala dan sistematik bagi mengurangkan jumlah haiwan itu di Sabah.

“Kita berharap buaya di negeri dapat diburu dan diperdagangkan susulan melihat kejayaan Malaysia menurun taraf kategori buaya daripada Apendiks I kepada Apendiks II di mesyuarat Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Spesies Flora dan Fauna Liar Terancam (CITES) di Afrika Selatan.

“Saya juga meminta supaya satu kajian akan dapat dilakukan oleh pihak berkuasa mengenai isu ini dan tindakan susulan akan dapat kita lakukan bagi mengurangkan popalasi buaya di Sabah demi menjamin keselamatan penduduk terutamanya yang tinggal di kawasan berhampiran sungai,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Bung Moktar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan berkata, semua pihak berkuasa wajar mengambil tindakan pro aktif dan serius dalam menangani isu berkaitan buaya bagi memastikan penduduk yang menggunakan sungai Kinabatangan sama ada untuk laluan seharian atau lokasi mencari sumber pendapatan melalui aktiviti memancing tidak terancam.

“Kejadian penduduk dibaham buaya bukan suatu perkara yang baru berlaku di Kinabatangan. Oleh itu, tindakan segara untuk menangani isu ini perlu dilakukan agar keselamatan penduduk di kawasan terlibat lebih terjamin,” katanya.

Terdahulu, seorang wanita maut dibaham buaya ketika keluar memancing di sebuah anak Sungai Kinabatangan di Kampung Tanjung Bulat Sinar Jaya pada Sabtu minggu lalu.

Mayat Norsila Sayong, 32, ditemui dalam keadaan tidak sempurna pada jam 6.53 pagi pada Ahad lalu oleh penduduk kampung kira-kira 800 meter dari lokasi kejadian mangsa dilaporkan hilang. –Info X