SEMPORNA: Bilik guru dan pejabat pentadbiran Sekolah Agama Bukit Lalang, di sini, mengalami kerosakan selepas terbakar dalam kejadian hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna, Mohd Zainal Sinsian berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 2.20 petang.
Katanya, seramai 10 anggota bersama sebuah jentera Compact Fire Rescue Tender (CFRT) dan sebuah Emergency Medical Rescue Services (EMRS) dikejarkan ke lokasi yang terletak kira-kira enam kilometer dari balai.
“Pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 2.31 petang dan mendapati kebakaran membabitkan sebuah bangunan sekolah jenis separuh kekal berkeluasan kira-kira 30 x 120 kaki.
“Kebakaran membabitkan bilik guru dan pejabat pentadbiran dengan anggaran kemusnahan sekitar 20 peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pasukan bomba berjaya mengawal kebakaran pada jam 2.38 petang menggunakan satu aliran hos reel dengan bekalan air daripada jentera bomba serta pili bomba berhampiran.
Menurutnya, tindakan pantas anggota turut berjaya menyelamatkan enam buah kelas yang terletak dalam satu deretan bangunan sama.
“Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian ini. Punca kebakaran masih dalam siasatan.
“Selepas memastikan tiada lagi bahaya di lokasi, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 2.46 petang,” katanya. – Info X