Search

Kanak-kanak perempuan dilapor hilang ditemukan selamat

July 28, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun yang dilaporkan hilang selepas tidak hadir ke sekolah pada Isnin ditemukan selamat di kawasan Inanam, semalam.

Salah seorang ahli keluarga yang enggan dikenali membuat hantaran di media sosial memaklumkan kanak-kanak terbabit sudah ditemukan dan kini berada dalam jagaan polis bagi membantu siasatan lanjut berhubung kehilangannya sebelum dibawa balik.

Individu itu juga menyatakan penghargaan dan berterima kasih dengan keprihatinan pihak polis serta pengguna media sosial yang sama-sama membantu menyalurkan maklumat sehingga pelajar ini ditemukan dengan selamat.

Beliau bagaimanapun belum menjelaskan punca sebenar kejadian itu.

Terdahulu, laman rasmi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu mengeluarkan kenyataan berhubung kehilangan kanak-kanak pada 27 Julai selepas dihantar ke hadapan sebuah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) di Likas kira-kira jam 5.55 pagi untuk ke sekolah.

Bagaimanapun, semakan mendapati kanak-kanak itu tidak hadir ke sekolah sebelum laporan orang hilang dibuat oleh ahli keluarganya.

Kes kehilangan itu kemudian mendapat perhatian orang ramai selepas polis mengeluarkan hebahan bagi mengesan keberadaan mangsa.

Polis turut merakamkan penghargaan kepada orang ramai yang menyalurkan maklumat dan membantu usaha mengesan kanak-kanak berkenaan. – Info X