PENAMPANG: Polis sedang menjalankan siasatan berhubung penemuan mayat seorang bayi yang dipercayai tidak cukup sifat di Kampung Goliga Kolopis, di sini.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton berkata, pihak polis menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira jam 11.52 pagi sebelum sepasukan pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang ke lokasi bagi menjalankan siasatan.
“Hasil siasatan awal mendapati mayat bayi yang dipercayai tidak cukup sifat ditemukan di kawasan berhampiran rumah pengadu.
“Pasukan Forensik Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Sabah serta Unit K9 Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut digerakkan ke lokasi bagi membantu siasatan dan pemeriksaan tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan media.

Beliau berkata, mayat bayi itu kemudian dihantar ke Bahagian Forensik Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu bagi tujuan bedah siasat dan tindakan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran bayi dengan jalan membuang mayat secara sulit.
“Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Menurutnya, polis kini giat mengesan individu yang bertanggungjawab selain menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti punca kejadian dan membawa pihak yang terbabit ke muka pengadilan.

“Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohamad Anis Abdullah di talian 013-6365734 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
“Dalam pada itu, polis turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih di media sosial sehingga boleh menjejaskan siasatan yang sedang dijalankan,” katanya. – Info X