KOTA KINABALU: Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata beliau menghormati keputusan mahkamah berhubung hukuman penjara lima minggu yang dijatuhkan ke atasnya hari ini.
Ia selepas bekas Ketua Menteri itu didapati bersalah menghina mahkamah berkaitan inkues kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir.
Bagaimanapun, katanya keputusan itu tidak menjejaskan amanah dan integritinya sebagai wakil rakyat, selain menyatakan menghormati kedaulatan undang-undang.
“Hari ini mahkamah telah membuat keputusan dalam prosiding penghinaan mahkamah terhadap saya.
“Saya menghormati keputusan mahkamah dan telah mengarahkan peguam saya untuk memfailkan rayuan. Biarlah proses undang-undang berjalan mengikut lunasnya.
“Namun begitu, amanah saya kepada rakyat tetap tidak berubah. Sejak dari awal, perkara ini bukan mengenai diri saya. Ia mengenai pemergian seorang kanak-kanak yang telah menyentuh hati seluruh negara.
“Harapan saya, sejak awal lagi, hanyalah agar kebenaran dapat ditegakkan, keadilan dapat dilaksanakan dan keyakinan rakyat terhadap institusi negara terus diperkukuhkan,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Ahli Parlimen Semporna itu berkata, memandangkan perkara itu kini berada di Mahkamah Rayuan, beliau tidak akan mengulas lanjut.
“Saya akan terus melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan kepada saya sebagai wakil rakyat dengan penuh integriti dan menghormati kedaulatan undang-undang.
“Komitmen saya untuk berkhidmat kepada rakyat serta mempertahankan prinsip kebenaran, keadilan dan akauntabiliti tetap tidak berubah,” katanya.
Shafie diperintah menjalani hukuman itu bermula pada tarikh keputusan dibuat, iaitu 29 Julai 2026, namun mahkamah membenarkan penangguhan hukuman sehingga selesai proses rayuan yang dibuat beliau.
Beliau sebelum ini didakwa menghina mahkamah selepas mengungkit inkues kematian Zara Qairina dalam ceramah politiknya menjelang Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) tahun lalu.
Sementara itu, Setiausaha Agung Warisan, Datuk Loretto Padua, berkata Warisan menghormati keputusan Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu dalam kes yang membabitkan presiden parti itu.
“Mahkamah juga telah membenarkan penangguhan hukuman penjara lima minggu sementara menunggu rayuan. Rayuan ke atas keputusan akan dibuat dan barisan peguam yang mengendalikan kes ini akan memfailkan Notis Rayuan dengan segera,” katanya.
Beliau meminta ahli Parti Warisan terus fokus kepada perjuangan parti dan berani menuntut keadilan di negara ini. – Info X