Search

Shafie kekal Ahli Parlimen, ADUN, boleh tanding pilihan raya – Azis

July 29, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kedudukan Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai Ahli Parlimen Semporna dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senallang tidak terjejas berikutan hukuman penjara lima minggu dikenakan terhadapnya oleh mahkamah pada Rabu.

Ketua Penerangan Warisan, Datuk Mohd Azis Jamman, berkata bekas Ketua Menteri itu juga tidak hilang kelayakan untuk bertanding pada pilihan raya akan datang.

“Ingin ditegaskan bahawa berdasarkan peruntukan undang-undang, hukuman penjara selama lima minggu dan denda RM300 yang diputuskan hari ini tidak menjejaskan kedudukan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri serta tidak menggugurkan kelayakan beliau untuk bertanding dalam pilihan raya.

“Sehubungan itu, saya menyeru semua pihak supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau mengeluarkan kenyataan yang boleh disalah tafsir sebagai menghina proses mahkamah,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, Warisan sentiasa menghormati institusi kehakiman dan akan terus mengikuti setiap proses perundangan dengan penuh tanggungjawab serta tertib.

Katanya, Shafie juga akan menggunakan haknya untuk mengemukakan rayuan mengikut saluran yang diperuntukkan undang-undang.

Azis juga yakin semua ahli dan penyokong Warisan akan terus bersikap tenang, matang serta menghormati proses rayuan yang sedang berjalan. – Info X