Search

Lelaki warga asing disyaki rogol remaja diberkas

July 30, 2026

Info X Reporters

TAWAU: Polis menahan seorang lelaki warga asing berusia 18 tahun yang disyaki merogol seorang remaja perempuan tempatan bawah umur dalam operasi di kawasan parkir sebuah masjid di Batu 2, Jalan Apas, di sini.

Penahanan suspek dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau susulan siasatan yang dijalankan selepas bapa mangsa membuat laporan polis.

Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Wilynton Enchana Watt berkata, laporan dibuat selepas bapa mangsa mendapati anak perempuannya yang dilaporkan tidak pulang ke rumah ditemui di kawasan Fajar, Tawau.

“Hasil siasatan awal mendapati mangsa mengaku tinggal bersama suspek di sebuah bilik sewa di Jalan Haji Karim, Bandar Fajar sebelum berlaku hubungan intim antara mereka.

“Bertindak atas maklumat itu, polis melancarkan operasi bagi mengesan suspek sebelum berjaya menahannya di kawasan parkir sebuah masjid di Batu 2, Jalan Apas,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut mendapati suspek adalah warga asing yang berada di negara ini tanpa memiliki sebarang dokumen perjalanan yang sah.

Katanya, semakan rekod jenayah turut mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan lampau.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan kerana disyaki melakukan rogol serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana berada di negara ini tanpa dokumen perjalanan yang sah,” katanya. – Info X