Search

Pemuda GRS komited jadi suara anak muda Sabah – Jonnybone

July 30, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Pemuda Gabungan Rakyat Sabah (GRS) komited untuk terus menjadi suara anak muda Sabah dengan memperjuangkan isu yang dekat di hati rakyat.

Ketuanya, Datuk Jonnybone J Kurum, berkata ia termasuk peluang pekerjaan, pendidikan, keusahawanan, pembangunan modal insan dan penyediaan infrastruktur serta kemudahan asas yang lebih baik.

“Pemuda GRS juga akan terus mendukung agenda pembangunan kerajaan negeri demi memastikan masa depan Sabah yang lebih maju, stabil dan sejahtera,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan selepas Mesyuarat Pergerakan Pemuda GRS, di sini, pada Rabu.

Mengenai mesyuarat berkenaan, Jonnybone berkata ia bagi menyelaras gerak kerja organisasi dan memperkukuhkan peranan Pemuda GRS dalam mendepani pelbagai isu semasa yang membabitkan kepentingan rakyat dan negeri Sabah.

Mesyuarat itu, katanya turut membincangkan beberapa isu semasa termasuk perkembangan politik, ekonomi dan agenda pembangunan negeri.

“Mesyuarat juga memperhalusi pendekatan dan tindakan yang akan digerakkan oleh sayap Pemuda GRS bagi memastikan suara dan aspirasi golongan muda terus diberikan perhatian,” katanya.

Beliau berkata, pada mesyuarat yang sama turut diadakan penyerahan surat pelantikan kepada Ahli Jawatankuasa Eksekutif (EXCO) Pemuda GRS sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh struktur organisasi dan memperkemas pelaksanaan gerak kerja di semua peringkat. – Info X