KOTA KINABALU: Stadium Likas, sekali lagi dipilih sebagai venue Pusingan Kelayakan Kumpulan A, kejohanan AFC Women’s Champions League 2026 yang dijadual berlangsung dari 17 hingga 23 Ogos 2026.
Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Negeri Sabah (SAFA), Shamsuddin Mohd Shah, berkata kejohanan itu membabitkan empat pasukan iaitu East Bengal FC dari India, Sabah FA dari Malaysia, Rovers FC dari Guam dan Rajshahi Stars FC dari Bangladesh.
Katanya, pemilihan Sabah sebagai lokasi penganjuran kali ini adalah satu lagi pengiktirafan kepada keupayaan negeri ini mengendalikan kejohanan bola sepak di peringkat antarabangsa.
Lebih membanggakan, katanya ia adalah yang kedua Sabah dipilih sebagai tuan rumah bagi kejohanan berkenaan selepas kali pertama diberikan kepercayaan menganjurkannya pada 2024.
“Pemilihan Sabah buat kali kedua adalah satu penghormatan dan kepercayaan kepada SAFA serta semua pihak yang terbabit dalam memastikan penganjuran kejohanan antarabangsa dapat dilaksanakan dengan baik.
“SAFA akan memberikan kerjasama sepenuhnya dan memastikan segala aspek persediaan, termasuk venue pertandingan, logistik, keselamatan serta keperluan pasukan dan pegawai kejohanan diberi perhatian,” katanya.
Shamsuddin berkata demikian selepas Mesyuarat Persediaan Pengelolaan AFC Women’s Champions League 2026 – Preliminary Stage yang diadakan di SAFA pada Jumaat lalu.
Mesyuarat berkenaan dipengerusikan oleh pemangku Presiden SAFA, Datuk Awang Kadin Tang dan turut dihadiri tiga pegawai dari Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi membincang serta menyelaras aspek berkaitan persediaan penganjuran kejohanan itu.
Shamsuddin berkata, penganjuran kejohanan itu juga memberi peluang kepada peminat bola sepak tempatan untuk menyaksikan aksi bola sepak wanita di peringkat Asia, selain memberi pendedahan pertandingan antarabangsa kepada pasukan Sabah FA.
Beliau berharap seluruh peminat bola sepak di Sabah akan memberikan sokongan kepada kejohanan berkenaan, khususnya kepada Sabah FA yang membawa cabaran Malaysia dalam saingan itu nanti.
“Selain memastikan kejohanan ini dapat dianjurkan dengan lancar, kita juga mahu menggunakan peluang ini untuk memperlihatkan kemampuan Sabah sebagai destinasi yang mampu menjadi tuan rumah acara sukan bertaraf antarabangsa.
“Kami berharap penyokong bola sepak Sabah akan hadir memberikan sokongan kepada pasukan Sabah FA sepanjang kejohanan berlangsung di Stadium Likas nanti,” katanya. – Info X