SANDAKAN: Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) membongkar pelbagai aktiviti menyalahi undang-undang menerusi operasi bersepadu selama dua hari di beberapa lokasi sekitar daerah ini.
Operasi pada 29 hingga 30 Julai itu menyaksikan 25 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan, selain tindakan penguatkuasaan, rampasan dan kompaun membabitkan nilai keseluruhan RM433,077.
Operasi yang dijalankan di Jalan Istana, Kampung Tabah Baru, Kampung Karamunting dan pusat bandar Sandakan itu membabitkan pelbagai kesalahan termasuk imigresen, penyeludupan, penyalahgunaan barang kawalan, sambungan utiliti haram, pelesenan perniagaan, kesalahan pekerjaan serta jenayah hidupan liar.
Komander ESSCOM, Datuk Victor B Sanjos berkata, operasi itu membuktikan keberkesanan pendekatan penguatkuasaan bersepadu yang dilaksanakan menerusi kerjasama strategik antara pelbagai agensi di Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE).

“Operasi ini bukan sahaja berjaya menahan PATI, malah membongkar pelbagai aktiviti haram yang memberi kesan kepada keselamatan, ekonomi, hasil kerajaan dan kesejahteraan masyarakat.
“Kejayaan ini mencerminkan komitmen semua agensi dalam memastikan ESSZONE kekal selamat dan bebas daripada sebarang ancaman jenayah,” katanya dalam kenyataan, malam ini.
Beliau berkata, seramai 25 PATI terdiri daripada 21 warga Filipina dan empat warga Indonesia ditahan selepas gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah sebelum diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk tindakan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63.
Katanya, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) turut merampas rokok tidak bercukai bernilai RM20,000, manakala Sabah Electricity Sdn Bhd memotong dan merampas kira-kira 300 kilogram kabel sambungan elektrik haram bernilai RM15,000.

“Sabah Electricity turut menganggarkan kegiatan penyambungan bekalan elektrik secara haram itu menyebabkan kerugian hasil kira-kira RM300,000 setahun.
“Dalam operasi sama, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) merampas 1,105 kilogram minyak masak bersubsidi bernilai RM2,762 serta menyita sebuah kenderaan bernilai RM20,049, menjadikan nilai keseluruhan rampasan RM22,811.
“Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan pula menahan dua lelaki bersama 0.07 gram syabu, manakala Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah merampas 1,550 biji telur penyu yang dianggarkan bernilai RM7,750,” katanya.
Pada masa sama, beliau berkata Jabatan Tenaga Kerja (JTK) mengeluarkan 20 kertas siasatan kompaun dan sembilan notis atas pelbagai kesalahan, selain mengarahkan majikan menjelaskan tunggakan gaji minimum kepada pekerja.

“Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) turut mengeluarkan dua notis berkaitan kesalahan sambungan bekalan air secara haram, manakala beberapa tindakan penguatkuasaan lain diambil oleh agensi yang terbabit mengikut bidang kuasa masing-masing. ESSCOM akan terus memperkukuh operasi bersepadu berasaskan risikan dan kerjasama strategik antara agensi.
“Selaras dengan hasrat Tiada Hari Tanpa Operasi, setiap pelanggaran undang-undang akan diambil tindakan tegas tanpa kompromi bagi memastikan ESSZONE terus kekal selamat, aman dan kondusif untuk rakyat serta pelabur,” katanya.
Terdahulu, operasi berkenaan membabitkan 263 pegawai dan anggota daripada ESSCOM bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Gerakan Am (PGA), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), JIM, JKDM, KPDN, JTK, Sabah Electricity Sdn Bhd dan JANS.
Turut terbabit ialah JHL Sabah, Majlis Perbandaran Sandakan (MPS), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta beberapa agensi penguat kuasa lain.

Operasi bersepadu itu diketuai Ketua Staf Bahagian Operasi Darat (BOD) ESSCOM, Datuk Habibi Majinji dengan bantuan Senior Asisten Komisioner (SAC) Shariman Asri yang menyelaras pelaksanaan operasi membabitkan semua agensi penguat kuasa terbabit.