BEAUFORT: Detik cemas dilalui tiga sekeluarga apabila kereta dinaiki mereka terjunam ke dalam sungai ketika sedang mengundur dalam kejadian di belakang sebuah bank di sini, malam tadi.
Semua mangsa termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun bagaimanapun berjaya diselamatkan oleh orang awam yang berada berhampiran lokasi sebelum ketibaan pasukan bomba.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beaufort, Ishak Jabas berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 8.42 malam sebelum menggerakkan tujuh anggota bersama jentera ke lokasi yang terletak kira-kira dua kilometer dari balai.
Katanya, sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba mendapati sebuah Perodua Bezza terjunam ke dalam sungai selepas dipercayai mengundur sebelum terbabas.
“Kejadian membabitkan tiga mangsa iaitu seorang lelaki berusia 28 tahun, seorang wanita berusia 39 tahun dan seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun.
“Semua mangsa bagaimanapun berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba,” katanya ketika dihubungi, malam ini.
Menurutnya, pasukan bomba kemudian menjalankan pemeriksaan bagi memastikan keadaan semua mangsa berada dalam keadaan selamat.
“Semua mangsa selepas itu diserahkan kepada petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk dibawa ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut.
“Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 9.45 malam selepas pasukan bomba memastikan kawasan kejadian berada dalam keadaan selamat,” katanya. – Info X