PAPAR: Seorang lelaki warga emas yang dilaporkan hilang selepas keluar menjala ikan ditemui meninggal dunia di sungai Kampung Benoni, di sini, malam ini.
Mangsa, Awang Husin Awang Hasan, 61, ditemukan orang awam pada jam 9.59 malam berhampiran lokasi motosikalnya ditemui sebelum ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar, Ronny Sikawan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 7.09 malam.
Katanya, seramai 10 anggota bersama sebuah Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah Toyota Vigo kemudian dikerahkan ke lokasi yang terletak kira-kira tujuh kilometer dari balai.

“Berdasarkan maklumat adik mangsa, lelaki itu keluar menjala ikan kira-kira jam 6 pagi dan kebiasaannya pulang sekitar jam 1 tengah hari.
“Bagaimanapun, mangsa tidak pulang sehingga lewat petang menyebabkan ahli keluarga bersama penduduk kampung bertindak mencarinya sebelum hanya menemui motosikal dan selipar milik mangsa di tebing Sungai Benoni.
“Pasukan bomba kemudian menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) menggunakan kaedah Water Surface Searching sebelum mangsa ditemukan oleh orang awam berhampiran lokasi motosikalnya,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata, pegawai perubatan yang berada di lokasi mengesahkan mangsa telah meninggal dunia sebelum mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Katanya, operasi SAR ditamatkan sepenuhnya pada jam 10.13 malam selepas bomba memastikan tiada lagi bahaya di lokasi kejadian. – Info X