Search

Gangguan tidak senonoh di gelanggang bola keranjang, polis buru suspek

August 3, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Polis sedang mengesan seorang lelaki yang disyaki terbabit dalam kejadian gangguan tidak senonoh terhadap seorang wanita di kawasan Gelanggang Bola Keranjang, Taman Hill Top, Luyang, di sini, yang tular di media sosial.

Kejadian dipercayai berlaku pada 29 Julai lalu dan satu laporan polis sudah dibuat di Balai Polis Luyang untuk tindakan lanjut.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, kes kini disiasat Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata, polis memandang serius kejadian itu dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang perlakuan jenayah yang mengancam keselamatan orang awam, khususnya wanita.

“Usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan menerusi pelbagai tindakan siasatan termasuk menyemak rakaman kamera litar tertutup (CCTV), mengesan serta merakam percakapan saksi yang berpotensi, selain mengumpul maklumat risikan bagi mengenal pasti suspek secepat mungkin.

“Kita komited memastikan individu yang bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, sebagai langkah pencegahan, polis turut meningkatkan rondaan cegah jenayah membabitkan Unit Kereta Peronda (MPV), Unit Rondaan Bermotosikal (URB) serta anggota Balai Polis Luyang di sekitar Taman Hill Top dan kawasan tumpuan awam lain di bandar raya ini, terutama pada waktu malam.

Katanya, langkah itu bertujuan meningkatkan kehadiran polis, mencegah kejadian jenayah serta memberi keyakinan kepada masyarakat terhadap aspek keselamatan.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian itu supaya tampil membantu siasatan.

“Maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Balai Polis Luyang di talian 088-253470, Hotline IPD Kota Kinabalu di talian 088-221191 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran,” katanya. – Info X