Search

Highland FC muncul juara Kejohanan Bola Sepak 6 Sebelah Terbuka Sabah 2026

August 3, 2026

Info X Reporters

RANAU: Highland FC dari Kundasang muncul juara Kejohanan Bola Sepak 6 Sebelah Terbuka Sabah 2026 sempena sambutan Bulan Kebangsaan selepas menewaskan pencabar-pencabar terbaik negeri ini pada kejohanan yang berlangsung di Padang Pekan Kundasang, di sini.

Kejohanan dua hari anjuran Kelab Belia Pekan Kundasang (KBPK) yang bermula pada Sabtu itu berjaya menarik penyertaan 31 pasukan dari seluruh Sabah, sekali gus membuktikan sambutan memberangsangkan terhadap pembangunan bola sepak akar umbi di negeri ini.

Quantum Kickers dari Kota Marudu muncul naib juara, manakala Bos Bundle dari Kota Kinabalu menduduki tempat ketiga dan Sinarut Team dari Ranau menamatkan saingan di tempat keempat.

Selain persaingan sengit di atas padang, beberapa pemain turut menyerlah menerusi prestasi cemerlang sepanjang kejohanan.

Pemain Highland FC, Sadam, dipilih sebagai Pemain Terbaik kejohanan, manakala rakan sepasukannya, Leopold, dinobatkan Penjaring Terbanyak selepas meledak 11 gol.

Anugerah Penjaga Gol Terbaik pula menjadi milik Yusri daripada Quantum Kickers yang mempamerkan aksi konsisten sepanjang kejohanan.

Pengerusi penganjur merangkap Pengerusi Kelab Belia Pekan Kundasang, Azizul Aslie, berkata kejohanan itu bukan sekadar medan pertandingan, malah menjadi platform menyatukan belia dari pelbagai daerah menerusi semangat kesukanan, perpaduan dan persaingan sihat.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin, atas sumbangan hadiah wang tunai yang membantu menjayakan penganjuran kejohanan berkenaan.

Katanya, penghargaan turut diberikan kepada Majlis Daerah Ranau (MDR) kerana membenarkan penggunaan Padang Pekan Kundasang, selain Puncak Homestay dan Kopisanangan Cafe yang tampil sebagai antara penyokong utama kejohanan.

Azizul turut berterima kasih kepada semua pasukan bertanding, pengadil, urusetia, penaja, sukarelawan serta orang ramai yang bersama-sama memastikan kejohanan berlangsung dengan lancar.

Beliau berharap kejohanan itu dapat diteruskan sebagai acara tahunan bagi mencungkil lebih ramai bakat baharu bola sepak Sabah, di samping mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan belia.

Pada masa sama, beliau berharap Padang Pekan Kundasang dapat dinaik taraf dan dibaik pulih supaya menyediakan kemudahan yang lebih selesa serta berkualiti kepada belia dan masyarakat setempat untuk menjalankan aktiviti sukan pada masa hadapan. – Info X