KOTA KINABALU: Parti Warisan Sabah (Warisan) menafikan sekeras-kerasnya satu kenyataan media yang tular di media sosial kononnya parti itu membuat keputusan menarik diri daripada Kerajaan Perpaduan.
Setiausaha Agung Warisan, Datuk Loretto S. Padua, berkata dokumen berkenaan adalah palsu dan disifatkan sebagai satu lagi fitnah yang sengaja direka bagi mengaitkan serta memburukkan imej parti.
Beliau berkata, pihak yang tidak bertanggungjawab bukan sahaja menyebarkan maklumat tidak benar, malah berani memalsukan dokumen rasmi Warisan sehingga ia kelihatan seolah-olah kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Setiausaha Agung parti.
“Parti Warisan Sabah menafikan kenyataan yang tular melalui media sosial dan menganggap ini merupakan satu lagi fitnah yang cuba mengaitkan serta memburuk-burukkan Warisan.
“Pihak-pihak ini bukan sahaja berani menabur fitnah tetapi juga berani memalsukan dokumen Warisan seolah-olah ia adalah kenyataan rasmi daripada Setiausaha Agung,” katanya dalam kenyataan, pada Isnin.
Loretto berkata, penyebaran dokumen palsu itu dilihat sebagai cubaan mengelirukan orang ramai selain mewujudkan persepsi tidak tepat terhadap pendirian rasmi Warisan.
Terdahulu, satu dokumen yang menggunakan kepala surat Warisan tersebar di media sosial dengan mendakwa parti itu memutuskan untuk menarik diri daripada Kerajaan Perpaduan atas alasan perkembangan politik semasa.
Dokumen berkenaan turut mengandungi pelbagai kenyataan berkaitan pendirian politik parti, namun Warisan menegaskan kandungan itu tidak pernah dikeluarkan atau diluluskan oleh kepimpinan parti.
Sehubungan itu, Loretto mengingatkan orang ramai supaya tidak mempercayai atau menyebarkan dokumen palsu berkenaan, sebaliknya mendapatkan pengesahan melalui saluran komunikasi rasmi Warisan bagi mengelakkan penyebaran maklumat tidak sahih.- Info X