Search

Gabriel pertahan Arthur, gesa pemimpin BN hentikan polemik dalaman

August 3, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Pemimpin Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) tampil mempertahankan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup, sambil menggesa semua pemimpin dalam gabungan itu menghentikan polemik dalaman yang disifatkan hanya akan melemahkan parti serta menguntungkan pihak lawan.

Ketua Bahagian PBRS N42 Melalap, Gabriel George Tulas, berkata tuduhan yang dilemparkan Ketua UMNO Bahagian Tawau, Ghazalie Ansing, terhadap Arthur adalah tidak wajar dan tidak menggambarkan komitmen sebenar beliau dalam memperkukuhkan BN Sabah.

“Datuk Seri Arthur Joseph Kurup sentiasa menjalankan tanggungjawabnya dengan penuh integriti, bukan sahaja di peringkat Persekutuan demi kebajikan rakyat Sabah, malah dalam memastikan struktur dan jentera BN Sabah kekal kukuh serta bersedia menghadapi sebarang cabaran politik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, ketiadaan seseorang pemimpin di sesuatu lokasi kempen tidak seharusnya dijadikan ukuran terhadap sumbangan atau peranan yang dimainkan kerana strategi politik melibatkan pelbagai pendekatan dan gerak kerja.

“Strategi politik serta sokongan kepada jentera parti merangkumi pelbagai dimensi. Kepimpinan BN Sabah sentiasa bergerak selari dengan mandat dan ketetapan yang diputuskan oleh Kepimpinan Tertinggi BN.

“Justeru, tidak adil untuk menilai komitmen seseorang pemimpin hanya berdasarkan kehadiran fizikal di sesuatu lokasi kerana banyak peranan penting dilaksanakan di belakang tabir bagi memastikan parti terus kukuh,” katanya.

Gabriel berkata, pemimpin BN perlu mengetepikan perbezaan pendapat dan mengelakkan budaya saling menyalahkan secara terbuka, terutama ketika parti sedang berusaha mengembalikan keyakinan rakyat.

“Ini bukan masanya untuk kita bergaduh sesama sendiri atau melemparkan tuduhan melalui media. Tindakan sedemikian hanya akan menguntungkan pihak lawan serta menjejaskan semangat dan kesiapsiagaan jentera di peringkat akar umbi,” katanya.

Beliau berkata, rakyat ketika ini mahu melihat BN sebagai sebuah gabungan yang matang, bersatu padu dan memberi tumpuan kepada agenda pembangunan serta kestabilan politik, bukannya terus dibelenggu perbalahan dalaman.

Katanya, kepimpinan BN Sabah di bawah Arthur yang juga Presiden PBRS kekal terbuka menerima pandangan dan teguran daripada semua pihak, namun setiap isu perlu dibincangkan menerusi saluran dalaman parti secara berhemah.

“Kita perlu merapatkan saf, memperkukuhkan jentera dan menumpukan seluruh tenaga untuk berkhidmat kepada rakyat. Hanya dengan perpaduan dan kesepakatan, BN akan terus relevan serta mampu memperoleh semula mandat rakyat,” katanya.- Info X