Search

650 liter diesel disyaki diseleweng dirampas

August 4, 2026

Info X Reporters

TAWAU: Sebanyak 650 liter minyak diesel yang disyaki diseleweng dirampas dalam serbuan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Ulu Brantian, di sini, hasil operasi dijalankan Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 14 Tawau.

Rampasan kira-kira jam 8.14 malam itu kemudian diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Tawau untuk tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang.

Selain diesel, turut dirampas ialah sebuah tangki IBC, sebuah pam air berkuasa dua kuasa kuda (2HP) serta hos minyak sepanjang kira-kira 27 meter yang dipercayai digunakan bagi aktiviti berkenaan.

Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan sekitar RM20,000.

Susulan itu, KPDN Tawau membuka kertas siasatan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi mengenal pasti sama ada berlaku kesalahan membabitkan penyelewengan barang kawalan.

KPDN menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu atau syarikat yang terbabit dalam aktiviti penyelewengan barang kawalan dan tindakan tegas akan diambil mengikut undang-undang.

Mengikut peruntukan Akta Kawalan Bekalan 1961, individu yang disabitkan kesalahan boleh didenda sehingga RM1 juta bagi kesalahan pertama dan sehingga RM3 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan berikutnya.

Bagi syarikat pula, hukuman denda boleh mencecah RM2 juta bagi kesalahan pertama dan sehingga RM5 juta bagi kesalahan berikutnya jika disabitkan.

KPDN turut menegaskan komitmennya untuk terus bekerjasama rapat dengan semua agensi penguat kuasa dalam membanteras penyelewengan barang kawalan demi memastikan bekalan bersubsidi tidak disalahgunakan. – Info X