Search

Shahrudin tekad perkasa profesionalisme, penguatkuasaan dan hubungan dengan masyarakat

August 5, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Memperkasa profesionalisme pasukan, melaksanakan penguatkuasaan undang-undang secara adil dan tegas serta memperkukuh kerjasama dengan masyarakat menjadi tiga fokus utama Asisten Komisioner Shahrudin Mat Husain dalam memastikan Kota Kinabalu terus kekal aman, selamat dan kondusif.

Shahrudin yang secara rasmi mengambil alih teraju Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu berkata, ketiga-tiga fokus itu akan menjadi keutamaan beliau dalam meneruskan kesinambungan kecemerlangan pasukan, selain memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terus terpelihara.

Menurutnya, beliau tidak berhasrat merombak dasar sedia ada, sebaliknya akan meneruskan segala usaha yang telah diasaskan sebelum ini dengan penambahbaikan secara berterusan.

“Selaras dengan aspirasi kepimpinan tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM), saya akan memberi keutamaan kepada tiga fokus utama iaitu memperkasa profesionalisme pasukan, melaksanakan penguatkuasaan undang-undang secara adil dan tegas serta memperkukuh jalinan kerjasama dengan masyarakat.

“IPD Kota Kinabalu perlu terus menjadi organisasi yang responsif, berintegriti dan diyakini masyarakat dalam menangani pelbagai cabaran keselamatan semasa,” katanya ketika berucap pada Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, di sini, hari ini.

Majlis berkenaan disaksikan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun.

Shahrudin berkata, seluruh warga IPD Kota Kinabalu perlu bergerak sebagai satu pasukan bagi menterjemahkan visi PDRM sebagai peneraju keselamatan negara yang dipercayai dan berintegriti.

Katanya, kejayaan merealisasikan hasrat itu memerlukan komitmen tinggi setiap warga pasukan, selain sokongan berterusan daripada kepimpinan Polis Kontinjen Sabah, agensi kerajaan serta masyarakat.

“Saya percaya kejayaan tidak mungkin dicapai secara bersendirian. Kerjasama erat antara PDRM, agensi sahabat dan komuniti menjadi kunci utama dalam memastikan keselamatan serta kesejahteraan bandar raya ini terus terpelihara,” katanya.

Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada Jauteh dan barisan kepimpinan PDRM atas kepercayaan yang diberikan untuk menerajui IPD Kota Kinabalu.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Abdul Rahman atas kepimpinan, dedikasi dan integriti yang ditunjukkan sepanjang memangku jawatan berkenaan.

Menurutnya, keamanan adalah asas kepada kemakmuran dan beliau akan mencurahkan sepenuh tenaga serta komitmen bagi memastikan Kota Kinabalu terus kekal aman, selamat dan kondusif demi kesejahteraan masyarakat. – Info X