Search

Jambatan Bailey ganti sementara jambatan rosak di Tanjung Lipat

August 5, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Jambatan Bailey akan dibina dan dijangka siap antara dua hingga tiga minggu bagi menggantikan sementara jambatan sedia ada di Tanjung Lipat, di sini yang dikesan tidak selamat digunakan.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam, berkata kerja pemasangan jambatan Bailey itu kini sedang giat dilaksanakan di lokasi jambatan rosak di Kilometer 2.85 Jalan Tun Fuad Stephen, di sini.

“Pemasangan jambatan sementara ini adalah langkah segera bagi memulihkan semula laluan dan memastikan pergerakan pengguna jalan raya lebih efektif, selesa dan selamat, sementara penyelesaian jangka panjang dilaksanakan.

“Berdasarkan perkembangan semasa di tapak, proses pemasangan jambatan Bailey dijangka mengambil masa sekitar dua hingga tiga minggu untuk disiapkan, tertakluk kepada keadaan cuaca dan faktor teknikal di lokasi,” katanya dalam satu kenyataan, pada Rabu.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai bersabar dan mematuhi arahan serta papan tanda keselamatan yang disediakan sepanjang tempoh pelaksanaan kerja.

Beliau yang juga Menteri Kerja Raya dan Utiliti, berkata kementeriannya bersama JKR Sabah akan memastikan kerja pembinaan jambatan sementara itu disiapkan secepat mungkin demi kepentingan dan keselamatan semua pengguna jalan raya.

“Terima kasih atas kerjasama dan kesabaran semua pihak. Segala kesulitan amatlah dikesali,” katanya.- Info X