KOTA KINABALU: Pemimpin Parti Warisan mempertikaikan langkah diambil kerajaan dalam usaha mengatasi isu sekolah daif di Sabah berikutan jumlahnya yang masih tinggi meskipun berbilion ringgit peruntukan diumumkan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Likas, Tham Yun Fook, berkata angka peruntukan yang besar tidak membawa makna jika masih banyak masalah sekolah daif di negeri ini belum diselesaikan.
“Saya mengalu-alukan kenyataan Timbalan Menteri Pendidikan di Dewan Rakyat baru-baru ini bahawa RM4.6 bilion telah diluluskan bagi projek pembangunan semula sekolah daif di Sabah sepanjang tempoh 2023 hingga 2026.
“Namun begitu, rakyat Sabah tidak boleh hanya diminta berpuas hati dengan angka peruntukan semata-mata.
“Apa yang lebih penting ialah berapa banyak sekolah daif yang telah benar-benar diselesaikan dan berapa banyak murid Sabah yang kini menikmati persekitaran pembelajaran yang selamat serta kondusif,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Beliau berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) perlu menjelaskan secara terperinci berapa yang sudah dibelanjakan daripada peruntukan RM4.6 bilion itu dan berapa projek yang sudah siap sepenuhnya, masih dalam pembinaan dan berada di peringkat prapembinaan.
Katanya, projek yang diluluskan tidak boleh dianggap sebagai masalah yang telah selesai, malah KPM sendiri mengakui bahawa terdapat projek yang masih berada pada peringkat prabina dan pembinaan.
“Hakikatnya, walaupun berbilion ringgit telah diumumkan sejak bertahun-tahun lalu, Sabah masih mempunyai jumlah sekolah daif yang tinggi berbanding negeri-negeri lain.
“Pada 2025, Kerajaan Negeri Sabah sendiri memaklumkan masih terdapat 368 sekolah dengan 1,779 blok bangunan dalam kategori daif berskala kritikal.
“Oleh itu, kenyataan bahawa Sabah menerima peruntukan tertinggi tidak semestinya menunjukkan kejayaan. Sabah menerima peruntukan tertinggi kerana Sabah mempunyai keperluan yang paling besar dan masalah yang paling serius dalam aspek infrastruktur pendidikan,” katanya.
Selain isu bangunan daif, katanya banyak sekolah di Sabah masih berdepan dengan cabaran bekalan air bersih, elektrik tidak stabil, capaian internet yang lemah, kemudahan asrama yang uzur serta akses jalan yang sukar, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman.
Semua isu terbabit, katanya memberi kesan langsung terhadap kualiti pendidikan yang diterima oleh anak-anak Sabah.
“Saya juga berpandangan bahawa kadar pengisian guru sebanyak 97.45 peratus dan pencapaian Dasar 90:10 sebanyak 89.72 peratus perlu dilihat secara lebih mendalam.
“Statistik keseluruhan tidak semestinya menggambarkan keadaan sebenar di lapangan. Masih terdapat sekolah yang menghadapi kekurangan guru bagi mata pelajaran kritikal seperti Bahasa Inggeris, Matematik, Sains, Pendidikan Khas, khususnya di kawasan pedalaman dan keperluan guru di SJKC.
“Sebagai bekas pegawai kanan pendidikan dan kini ADUN Likas, saya percaya ukuran sebenar kejayaan bukanlah jumlah bilion ringgit yang diumumkan, tetapi berapa banyak sekolah daif yang berjaya dihapuskan, berapa banyak murid yang mendapat kemudahan yang setara dengan rakan mereka di Semenanjung dan berapa cepat projek yang telah diluluskan dapat disiapkan,” katanya.
Tegasnya, rakyat Sabah tidak meminta layanan istimewa, sebaliknya hanya menuntut hak mereka untuk mendapat kemudahan pendidikan yang berkualiti, selamat dan setara seperti yang dinikmati semua rakyat Malaysia. – Info X