KOTA KINABALU: Persatuan Pengusaha Syarikat Pelancongan Bumiputera Tempatan Semporna (PUSPABUMI) mahu kerajaan memberi perhatian serius terhadap masalah yang dihadapi pengusaha pelancongan di Semporna.
Setiausahanya, Anyrishah Mohd Shah, berkata sokongan dan perhatian pihak kerajaan amat penting bagi menjamin kelangsungan industri pelancongan yang menjadi sumber ekonomi utama masyarakat setempat.
Katanya, kerajaan juga diharapkan dapat membantu mempergiatkan kempen keselamatan dan promosi pelancongan bagi memberi keyakinan kepada pelancong untuk terus datang ke Semporna.
Usaha itu katanya penting supaya setiap perbelanjaan yang dikeluarkan pelancong untuk sampai ke destinasi mereka di Semporna berbaloi dengan pengalaman dan jaminan keselamatan yang diberikan.
“Kami berharap kerajaan dapat memberi perhatian serius terhadap pengusaha pelancongan, khususnya pengusaha bumiputera di Semporna yang sedang berdepan tekanan kos yang semakin meningkat.
“Sokongan dan perhatian daripada pihak kerajaan amat penting bagi memastikan kelangsungan industri pelancongan yang menjadi sumber ekonomi utama masyarakat setempat,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Beliau berkata, pengusaha pelancongan di Semporna ketika ini berdepan penurunan kehadiran pelancong dan peningkatan kos operasi, terutama kos bahan api.
Katanya, penurunan pelancong berkemungkinan besar dipengaruhi beberapa faktor, termasuk peningkatan kos penerbangan yang dilihat meningkat hampir dua kali ganda berbanding sebelum ini.
Jelasnya, peningkatan kos domestik pula memberi kesan terhadap keseluruhan rantaian industri pelancongan, termasuk kos operasi pengusaha.
“Kebanyakan pengusaha pelancongan masih bergantung sepenuhnya kepada penggunaan diesel dan petrol bagi memastikan operasi seperti pengangkutan laut, bot serta perkhidmatan berkaitan dapat diteruskan.
“Walaupun berdepan dengan peningkatan kos penerbangan dan kos operasi yang semakin ketara, pengusaha Bumiputera di Semporna tetap berusaha mengekalkan harga pakej pelancongan agar tidak membebankan pelancong, terutama dalam keadaan kehadiran pelancong domestik dan antarabangsa yang semakin mencabar,” katanya.
Beliau berkata, PUSPABUMI sebelum ini juga sudah mengemukakan dan menyuarakan isu berkaitan rayuan subsidi diesel kepada kerajaan kerana kebergantungan pengusaha pelancongan terhadap bahan api itu sangat memberi kesan kepada peningkatan kos operasi sedia ada.
Jelasnya, PUSPABUMI kekal komited bersama kerajaan dalam usaha memperkukuhkan industri pelancongan Semporna demi manfaat semua pihak. ‘ Info X