KOTA KINABALU: Perwakilan asing di negara ini perlu dimaklumkan mengenai perkembangan positif di Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE) sebagai langkah proaktif menurunkan nasihat perjalanan berkaitan tahap keselamatan di kawasan itu.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata situasi di ESSZONE yang kini selamat untuk dikunjungi perlu dijelaskan dengan lebih berkesan kepada pihak kedutaan dan suruhanjaya tinggi asing di negara ini.
“Ini penting supaya mereka dapat menilai semula dan seterusnya menimbangkan penurunan tahap nasihat perjalanan ke Sabah Timur berdasarkan perkembangan positif yang mana tiada kes penculikan untuk wang tebusan (KFR) dilaporkan di kawasan terbabit sejak Januari 2020.
“Ini akan meningkatkan keyakinan pelancong antarabangsa dan menggalakkan lebih ramai pengunjung datang ke Sabah, khususnya untuk menikmati pelbagai destinasi pelancongan menarik di Pantai Timur negeri ini,” katanya pada mesyuarat Jawatankuasa Bersama ESSZONE di Menara Kinabalu, di sini, pada Khamis.
Mesyuarat itu dipengerusikan bersama oleh Hajiji dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Zainudin Aman dan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Dr Awang Alik Jeman.
Hajiji berkata, secara keseluruhan, keadaan keselamatan di ESSZONE kini baik dan terkawal, menjadikannya selamat untuk dikunjungi orang ramai, termasuk pelancong asing.

Beliau sendiri, katanya meninjau keadaan keselamatan di beberapa pulau di ESSZONE, baru-baru ini untuk melihat secara dekat kawalan pasukan keselamatan dan situasi semasa di kawasan terbabit.
“Saya sendiri melawat enam pulau di perairan Sabah Timur untuk meninjau pos-pos kawalan dan melihat tahap kesiapsiagaan anggota keselamatan di lapangan,” katanya.
Hajiji berkata, ketiadaan laporan kes KFR sejak enam tahun lalu adalah satu pencapaian penting kepada Eastern Sabah Security Command (ESSCOM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan semua agensi keselamatan.
“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada ESSCOM, PDRM, ATM, APMM serta semua agensi keselamatan atas komitmen dan pengorbanan mereka dalam menjaga keselamatan perairan dan daratan Sabah Timur,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan negeri akan terus bekerjasama rapat dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan semua agensi berkaitan bagi memperkukuh keupayaan operasi dan aset serta kesiapsiagaan dan kebajikan anggota keselamatan. – Info X