KOTA KINABALU: Peminjam Pengajian Yayasan Sabah sekali lagi berpeluang menikmati insentif rebat menarik melalui pelaksanaan Program Rebat Budi Madani 2026 yang akan berlangsung dari 6 hingga 26 Ogos ini.
Menerusi satu kenyataan pada Khamis, Yayasan Sabah berkata program itu adalah satu inisiatif khas bagi menghargai peminjam yang komited melaksanakan pembayaran balik pinjaman pengajian serta memupuk budaya pembayaran yang mampan.
Melalui program ini, katanya peminjam ditawarkan kadar rebat yang menarik mengikut pelbagai kategori bagi menggalakkan lebih ramai peminjam menunaikan tanggungjawab membuat pembayaran balik pinjaman pengajian.
Jelas Yayasan Sabah, bayaran balik pinjaman pengajian penting dalam menyumbang kepada kelestarian dana tajaan pengajian yang ditawarkannya kepada pelajar negeri ini.
Katanya, di bawah Program Rebat Budi Madani 2026, tiga kategori rebat ditawarkan, bermula dengan rebat 30 peratus kepada peminjam yang berhasrat untuk melunaskan keseluruhan baki pinjaman mereka, khusus untuk peminjam kategori Aktif Bayar, yakni mereka yang membuat pembayaran secara konsisten.
Kedua, katanya tawaran rebat 25 peratus kepada peminjam yang berhasrat untuk melunaskan keseluruhan baki pinjaman mereka, khusus untuk peminjam yang tidak termasuk dalam kategori Aktif Bayar.
“Yang ketiga ialah rebat 20 peratus kepada peminjam yang membuat pembayaran secara ansuran biasa,” katanya.
Pada tahun lalu, katanya program rebat seumpama itu berjaya memberi impak positif terhadap peningkatan kesedaran dalam kalangan peminjam untuk menunaikan tanggungjawab mereka berdasarkan pencapaian jumlah kutipan pinjaman pengajian tertinggi iaitu RM8 juta sejak Yayasan Sabah ditubuhkan.
Pemberian insentif itu juga, katanya adalah sebahagian daripada program sosial Kumpulan Yayasan Sabah untuk meringankan beban kewangan yang ditanggung peminjam.
“Selain itu, Program Rebat Budi Madani 2026 adalah satu bentuk penghargaan kepada peminjam yang aktif dan konsisten membuat pembayaran.
“Pemberian kadar rebat yang lebih tinggi kepada golongan ini adalah sebagai tanda penghargaan di atas dedikasi mereka mematuhi jadual pembayaran balik yang ditetapkan,” katanya.
Sejajar dengan peluncuran Program Rebat Budi Madani 2026 kali ini katanya, Yayasan Sabah akan membuka kaunter khas bermula 6 Ogos 2026 kepada peminjam yang berminat menyertai program berkenaan.
Katanya, bagi jelajah pertama, sesi satu diadakan di Foyer Bilik Kapalai & Manukan, Aras 2, Sabah International Convention Centre, Kota Kinabalu, bermula jam 9 pagi hingga 3 petang, 6 Ogos 2026, diikuti sesi kedua Lintasan Deasoka, Kota Kinabalu dari jam 5 petang hingga 10 malam, pada 8 Ogos 2026 (Sabtu).
Ia kemudian disusuli jelajah kedua di Tapak Tamu Pekan Papar dari jam 9 pagi hingga 4.30 petang pada 15 – 16 Ogos 2026 (Sabtu – Ahad), manakala jelajah ketiga di Tapak Tamu Pekan Kota Belud dari 9.00 pagi – 4.30 petang pada 22 – 23 Ogos 2026.
Selain itu, katanya sebagai salah satu manifestasi keprihatinan, pihak Pengurusan Kumpulan Yayasan Sabah turut menawarkan program pengampunan CTOS.
Melalui program itu, jelasnya peminjam ingkar yang disenaraikan dalam CTOS boleh memohon untuk dikeluarkan daripada senarai dengan membayar balik pinjaman tertunggak dalam jumlah yang munasabah.
“Program berbentuk pengampunan ini diharap dapat meringankan beban peminjam yang sebelum ini perlu membayar jumlah tunggakan pinjaman yang besar untuk dikeluarkan daripada senarai CTOS.
“Di samping itu, sebagai alternatif bagi memudahkan peminjam berinteraksi berhubung kedua-dua program ini, mereka boleh mengunjungi Kaunter Pembayaran Balik Pinjaman Pengajian, Bahagian Pungutan Pinjaman Pengajian di Aras 26, Menara Tun Mustapha, Kompleks Ibu Pejabat Yayasan Sabah.
“Untuk maklumat lanjut mengenai Program Rebat Budi Madani 2026 dan Pengampunan CTOS ini sila layari Facebook KYS-Kumpulan Yayasan Sabah atau menghubungi talian 011-33181088 dan emel ke [email protected] mengenai Program Rebat Budi Madani 2026,” katanya.- Info X