Search

Lelaki melecur di muka akibat kepala dapur gas terbakar

August 6, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Seorang lelaki melecur di bahagian muka selepas kepala dapur gas (gas regulator) tong gas terbakar di sebuah restoran di Jalan Cyber City, di sini, tengah hari tadi.

Dalam kejadian itu, mangsa berusia 30 tahun dihantar ke hospital oleh rakan sekerja menggunakan kenderaan sendiri untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Putatan, Zainuddin Saidi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.58 tengah hari sebelum menggerakkan lima anggota bersama jentera ke lokasi yang terletak kira-kira enam kilometer dari balai.

Katanya, setibanya di lokasi, pasukan bomba mendapati kebakaran hanya membabitkan kepala dapur gas (gas regulator) pada tong gas LPG di bahagian dapur premis berkenaan.

“Kebakaran bagaimanapun berjaya dipadamkan lebih awal oleh pekerja dapur menggunakan alat pemadam api sebelum ketibaan pasukan bomba.

“Seorang lelaki mengalami kecederaan melecur di bahagian muka dan telah dihantar ke hospital oleh pekerja premis untuk mendapatkan rawatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pasukan bomba kemudian menjalankan pemeriksaan keselamatan di lokasi bagi memastikan tiada lagi punca nyalaan atau bahaya lain yang boleh mencetuskan kebakaran semula.

Katanya, selepas keadaan disahkan selamat, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 2 petang. – Info X