KOTA KINABALU: Empat pemilik syarikat antara lima individu, didakwa di di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah, di sini, pada Khamis atas pertuduhan mengemukakan dokumen palsu berhubung tuntutan insentif Daya Kerjaya 2.0 Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), dua tahun lalu.
Tertuduh, Pausia Abu, 49; Arzeanti Jafar, 40; Nur Farhanah Jamil, 38; Mohd Azhar Ramali, 39 dan seorang eksekutif pemasaran, Foo Fong Kent, 31, masing-masing mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Andi Razalijaya A Dadi.
Foo berdepan tiga pertuduhan, Pausia dan Mohd Azhar masing-masing berdepan dua pertuduhan, manakala Arzeanti dan Nur Farhanah masing-masing didakwa atas satu pertuduhan.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh masing-masing didakwa memberikan kepada seorang ejen PERKESO dokumen Borang Pengesahan Pekerja Daya Kerjaya 2.0 atas nama syarikat masing-masing.
Dokumen itu dilampirkan dalam permohonan tuntutan insentif Program Daya Kerjaya 2.0 PERKESO, yang mereka mempunyai sebab untuk mempercayai mengandungi butir matan palsu dengan niat mengelirukan pihak prinsipal.
Foo didakwa melakukan kesalahan itu antara 30 Mei hingga 9 Oktober 2024 di Infinity Profit Enterprise di Warisan Square, Jalan Tun Fuad Stephens, di sini, manakala Arzeanti, selaku pemilik Syarikat Tasek Emas Enterprise, didakwa melakukan kesalahan itu pada 6 Ogos 2024 di Desa Sri Taman Laya-Laya, Tuaran.
Mohd Azhar, selaku pemilik Syarikat Cyber Vision Enterprise pula didakwa melakukan kesalahan itu pada 7 Jun dan 14 Ogos 2024 di sebuah premis di Alamesra Plaza Utama, Jalan UMS, manakala Pausia, selaku pemilik Syarikat Hajah Yanong Enterprise, didakwa melakukan kesalahan itu pada 15 dan 18 Mac 2024 di Kilang SME Bank, Jalan Papar.
Nur Farhanah, selaku pemilik Syarikat Afijay Bersatu pula didakwa melakukan kesalahan itu pada 19 Ogos 2024 di Jalan Tuaran By-Pass, Manggatal.
Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) Akta yang sama.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun; dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai butir matan yang palsu atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Mahkamah menetapkan 14 September depan untuk sebutan pengurusan kes pra-perbicaraan, manakala perbicaraan bagi setiap tertuduh akan dijalankan secara berasingan bermula Oktober depan.
Semua tertuduh dibenar ikat jamin dengan dua penjamin tempatan.
Foo diikat jamin RM10,000 dengan deposit RM7,000; Pausia dan Mohd Azhar masing-masing RM10,000 dengan deposit RM5,000; Arzeanti RM8,000 dengan deposit RM4,000; manakala Nur Farhanah RM8,000 dengan deposit RM3,500.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh melapor diri di pejabat SPRM terdekat sebulan sekali; passport antarabangsa tertuduh diserahkan kepada mahkamah; dan tertuduh tidak boleh mengganggu saksi-saksi pendakwaan sama ada sebelum atau semasa kes berjalan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Norsham Baharom, manakala Foo diwakili peguam Lim Chun Yuan; Pausia, Arzeanti dan Mohd Azhar diwakili peguam Slylyester Kuan. Nur Farhanah pula tidak diwakili peguam.- Info X