BEAUFORT: Tiga anggota polis maut selepas dipercayai terkena renjatan elektrik dalam kejadian di tepi jalan berhampiran Balai Polis Weston, di sini, petang tadi.
Mangsa dikenali sebagai Koperal Chiu Teck Siong, 40; Koperal Mohamad Nur Hafiz Ibrahim, 29; dan Konstabel Muhammad Raimi Ismarubee, 26.
Difahamkan, ketiga-tiga mangsa ditemui terbaring di kawasan berumput di tepi jalan berhampiran Balai Polis Weston dan disyaki meninggal dunia akibat terkena renjatan elektrik.
Punca kejadian masih dalam siasatan pihak berkuasa, manakala laporan lanjut dijangka menyusul.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 5.56 petang.
Susulan itu, tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beaufort bersama sebuah Fire Rescue Tender (FRT) digerakkan ke lokasi yang terletak kira-kira 28 kilometer dari balai.
Operasi diketuai Komander Operasi, PBK I Irwan Abdul dengan bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Sabah Electricity. – Info X