Search

Kenyataan didakwa fitnah, tidak berasas, Shamsul saman Jufazli

August 6, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Bekas Timbalan Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah, Datuk Mohd Shamsul Nizam Abdul Wahid memfailkan saman fitnah terhadap seorang individu berhubung kenyataan berunsur fitnah terhadap beliau menerusi penyebaran dua video di media sosial, baru-baru ini.

Writ Saman dan Pernyataan Tuntutan itu difailkan terhadap pempengaruh media sosial, Jufazli Shi Ahmad pada 23 Julai lalu bagi mendapatkan pembelaan undang-undang berhubung dakwaan yang disifatkan sebagai tidak benar dan menjejaskan reputasinya.

Mohd Shamsul berkata, antara tuduhan yang terkandung dalam video berkenaan ialah dakwaan berkaitan penggunaan gelaran profesional Ir, pemalsuan dokumen serta dakwaan mengatakan beliau dipecat daripada jawatan Timbalan Pengarah JKR Sabah.

“Saya ingin menegaskan bahawa segala tuduhan yang dibuat adalah tidak benar dan tidak berasas. Saya masih berkhidmat sebagai penjawat awam dan tidak pernah dibuang kerja,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau beliau turut memperoleh Perintah Injunksi daripada Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 3 Ogos 2026 melalui peguamcaranya, Effendi Othman dan Khalid Murshidi dari Tetuan Effendi & Co.

Menerusi perintah itu, mahkamah mengarahkan Jufazli mengeluarkan kedua-dua video berkenaan daripada semua platform media sosial serta melarangnya daripada terus menyiarkan, mengulas atau membenarkan penyebaran kenyataan yang didakwa berunsur fitnah.

Mohd Shamsul berkata, tindakan undang-undang itu diambil bagi mempertahankan nama baik dan reputasinya selain memastikan perkara berkenaan diselesaikan mengikut lunas perundangan.

“Saya percaya kepada proses undang-undang dan memohon orang ramai agar tidak membuat spekulasi lanjut memandangkan perkara ini kini di bawah tindakan mahkamah,” katanya.

Kes berkenaan kini sedang dalam proses perundangan di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu. – Info X