BEAUFORT: Pemergian tiga anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) selepas terkena renjatan elektrik di Weston, di sini, lewat petang Khamis disifatkan sebagai satu kehilangan besar kepada keluarga, pasukan dan masyarakat.
Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan negeri, Datuk Ruslan Muharam, berkata jasa mereka sepanjang berkhidmat kepada masyarakat akan sentiasa dikenang.
“Saya merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga mangsa dan warga PDRM. Semoga keluarga yang ditinggalkan diberikan kekuatan serta ketabahan dalam menghadapi dugaan ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan turut hadir ke Hospital Beaufort, di sini, bagi memberikan penghormatan terakhir kepada tiga anggota terbabit, malam tadi.
Turut hadir memberikan penghormatan terakhir ialah Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Isnin Aliasnih yang juga ADUN Klias.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.50 petang Khamis, tiga anggota polis dari Balai Polis Weston disahkan meninggal dunia selepas terkena renjatan elektrik.
Insiden bermula selepas seorang daripada mereka terkena renjatan elektrik ketika mengait buah kelapa apabila galah besi yang digunakan tersentuh kabel elektrik.
Susulan itu, dua rakannya cuba membantu, namun kedua-dua mereka turut terkena renjatan elektrik sebelum tiga anggota polis terbabit disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat terkena renjatan. – Info X