Search

Bedah siasat selesai, jenazah tiga anggota polis dihantar pulang ke kampung halaman

August 7, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Jenazah tiga anggota polis yang maut dipercayai akibat renjatan elektrik di luar Balai Polis Weston, Beaufort, petang semalam, akan dihantar pulang ke kampung halaman masing-masing sebaik selesai urusan bedah siasat dan dokumentasi di Hospital Queen Elizabeth (HQE), di sini, hari ini.

Proses bedah siasat yang bermula kira-kira jam 8.30 pagi tadi selesai sekitar jam 12 tengah hari sebelum diteruskan dengan urusan dokumentasi bagi membolehkan semua jenazah dibawa ke destinasi masing-masing.

Jenazah Koperal Chiu Teck Siong akan dibawa ke Lapangan Terbang Pasukan Gerakan Udara (PGU) PDRM sebelum diterbangkan ke Sarawak.

Dua lagi jenazah iaitu Lans Koperal Mohamad Nur Hafiz Ibrahim dan Lans Koperal Muhammad Raimi Ismarubee pula akan dibawa ke Masjid Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah untuk disolatkan selepas Maghrib, kira-kira jam 7.30 malam.

Selesai solat jenazah, kedua-dua jenazah akan dihantar ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) sebelum diterbangkan ke Kelantan dan Terengganu menggunakan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Terdahulu, isteri Allahyarham Lans Koperal Mohamad Nur Hafiz Ibrahim turut berada di Jabatan Perubatan Forensik HQE bagi menunggu selesai keseluruhan proses pengurusan jenazah.

Beliau yang enggan ditemu bual turut diberikan khidmat kaunseling oleh Unit Kaunseling Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Beaufort, Superintendan Champin Piuh menzahirkan penghargaan kepada Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun, warga Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah serta Hospital Queen Elizabeth yang banyak membantu melancarkan urusan pengurusan jenazah.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pemimpin kawasan Klias dan Lumadan, Datuk Isnin Aliasnih serta Datuk Ruslan Muharam, selain Persatuan Pegawai Rendah Polis Kontinjen Sabah atas sokongan dan kerjasama yang diberikan sepanjang proses pengurusan jenazah.

Beliau berkata, sumbangan ikhlas daripada warga PDRM Sabah turut disampaikan kepada waris ketiga-tiga anggota terbabit sebagai tanda solidariti dan penghargaan atas pengorbanan mereka.

Terdahulu, dalam kejadian kira-kira jam 5.50 petang semalam, ketiga-tiga anggota yang bertugas di Balai Polis Weston disahkan meninggal dunia selepas dipercayai terkena renjatan elektrik ketika mengait buah kelapa menggunakan galah besi berhampiran balai polis berkenaan. – Info X