Search

Penghormatan terakhir buat tiga anggota polis

August 7, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Tiga jenazah anggota polis yang maut dipercayai akibat renjatan elektrik di luar Balai Polis Weston, Beaufort, semalam, dihantar pulang ke kampung halaman masing-masing selepas selesai urusan bedah siasat di Hospital Queen Elizabeth (HQE), di sini, hari ini.

Ketiga-tiga jenazah dibawa keluar dari Jabatan Perubatan Forensik HQE kira-kira jam 2.50 petang sebelum bergerak dalam konvoi diiringi kenderaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menuju ke destinasi masing-masing.

Jenazah Koperal Chiu Teck Siong terlebih dahulu dibawa ke Pangkalan Pasukan Gerakan Udara (PGU) Sabah sebelum diterbangkan ke Sibu, Sarawak menggunakan pesawat PGU pada jam 3.23 petang.

Sementara itu, dua lagi jenazah iaitu Lans Koperal Mohamad Nur Hafiz Ibrahim dan Lans Koperal Muhammad Raimi Ismarubee dibawa ke Masjid Nurul Iman, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah untuk disolatkan.

Selesai solat jenazah, kedua-dua jenazah dibawa secara konvoi ke kawasan parkir pesawat di Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) selepas ketibaan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) jenis Airbus A400M dari Pangkalan Udara Subang.

Kedua-dua jenazah kemudian diusung masuk ke pesawat dengan penuh istiadat penghormatan polis oleh anggota PDRM sebelum ditempatkan di ruang kargo pesawat bagi penerbangan pulang ke kampung halaman masing-masing.

Turut mengiringi penerbangan itu ialah balu Allahyarham Lans Koperal Mohamad Nur Hafiz Ibrahim bersama anak mereka bagi mengiringi jenazah pulang ke Kelantan untuk urusan pengebumian.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah turut hadir memberikan penghormatan terakhir kepada ketiga-tiga anggota terbabit sebelum pesawat berlepas.

Turut hadir, barisan kepimpinan PDRM Sabah, ahli keluarga serta rakan setugas yang mengiringi penghantaran pulang jenazah.

Pesawat A400M itu dijadual berlepas dari Kota Kinabalu pada jam 7.10 malam menuju ke Pangkalan Udara Kuantan bagi menurunkan jenazah Lans Koperal Mohamad Nur Hafiz Ibrahim sebelum meneruskan penerbangan ke Pangkalan Udara Gong Kedak, Terengganu untuk menghantar jenazah Lans Koperal Muhammad Raimi Ismarubee.

Terdahulu, ketiga-tiga anggota polis terbabit maut dalam kejadian dipercayai akibat renjatan elektrik ketika mengait buah kelapa menggunakan galah besi yang terkena kabel elektrik berhampiran Balai Polis Weston, Beaufort, kira-kira jam 5.45 petang semalam. – Info X