TAWAU: Seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun berdepan pengalaman menakutkan apabila dipukul abang tirinya menggunakan batang penyapu di sebuah rumah di Batu 3, Jalan Apas, di sini, semalam.
Lelaki warga asing berusia 40-an itu turut disyaki mengugut mahu menggantung adik-adiknya sekiranya ibu mereka keluar bekerja.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 9 pagi ketika suspek dipercayai mengamuk sebelum bertindak memukul adik tirinya.
Katanya, ibu mangsa kemudian menyalurkan maklumat berhubung kejadian itu kepada polis yang segera menjalankan tindakan susulan.
“Suspek berjaya ditahan kira-kira jam 2 petang di hadapan sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Sri Aman, Batu 3, Jalan Apas.
“Pemeriksaan mendapati lelaki berkenaan tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan yang sah,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Rosdi, kejadian itu bukan kali pertama berlaku apabila suspek dikatakan sering mengamuk sehingga menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan ahli keluarga berkenaan.
Katanya, suspek turut disyaki mengugut mahu menggantung adik-adiknya sekiranya ibu mereka pergi bekerja.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.
Beliau berkata, polis akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang disyaki melakukan penganiayaan atau mengancam keselamatan kanak-kanak.
Katanya, siasatan turut dijalankan secara menyeluruh mengikut peruntukan undang-undang.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah boleh menghubungi Hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau di talian 089-772121, menerusi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya. – Info X