KOTA KINABALU: KTI Group menerusi K.T.I Development Sdn Bhd memeterai Memorandum Perjanjian (MoA) bersama Universiti Malaysia Sabah (UMS) bagi menyediakan pilihan penginapan luar kampus kepada pelajar, kakitangan Hospital Universiti Malaysia Sabah (HUMS) dan warga bersekutu universiti itu.
Kerjasama berkenaan turut membabitkan penyediaan penginapan untuk pelajar pertukaran antarabangsa serta pelajar sedia ada UMS.
Menerusi MoA itu, Kayana Heights di Ayuria Place, Alamesra akan berperanan sebagai rakan strategik penginapan kepada UMS.
Kayana Heights yang terletak kira-kira dua kilometer dari kampus utama UMS menawarkan kediaman dilengkapi perabot asas, ciri keselamatan, sambungan Wi-Fi serta kemudahan praktikal bagi memastikan keselesaan penghuni.
Pengurusan operasi kediaman berkenaan akan dikendalikan secara profesional oleh Belive Ventures Sdn Bhd menerusi konsep co-living yang menekankan gaya hidup komuniti moden, teratur dan berfokuskan keselesaan penghuni.
Kayana Heights adalah sebahagian daripada pembangunan Ayuria Place yang merangkumi kira-kira 2,165 unit apartmen.
Fasa pertama pembangunan itu membabitkan Blok A1 dan A2 dengan keseluruhan 866 unit yang disasarkan siap pada 2027.
Pegawai Eksekutif Kumpulan KTI Group, Wilson Loke, berkata kerjasama itu mencerminkan komitmen pihaknya dalam menyokong keperluan warga UMS, khususnya menerusi penyediaan pilihan kediaman yang bersih, selamat, selesa dan diurus dengan baik.
“Kami menghargai kepercayaan yang diberikan oleh UMS kepada KTI Group.
“Kerjasama ini bukan sekadar menyediakan penginapan, tetapi turut bertujuan menyokong perjalanan akademik dan kesejahteraan warga UMS melalui persekitaran kediaman yang selesa dan praktikal,” katanya.
Sementara itu, Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr Kasim Hj Mansor, berkata kapasiti penginapan dalam kampus ketika ini hanya mampu menampung kira-kira 48 peratus daripada sekitar 8,000 kapasiti penempatan pelajar.
Beliau berkata keadaan itu menyebabkan hampir 10,000 pelajar lain perlu mendapatkan penginapan di luar kampus, sekali gus menunjukkan keperluan terhadap pilihan penginapan seperti yang ditawarkan di Kayana Heights.
Kerjasama berkenaan turut dilihat dapat memperkukuh hubungan antara industri dan institusi pendidikan tinggi, selain menyokong pembangunan komuniti pelajar yang lebih dinamik di Sabah.
KTI Group berharap termeterainya MoA itu menjadi permulaan kepada kerjasama jangka panjang yang memberi manfaat kepada warga UMS serta kedua-dua organisasi.- Info X