Search

‘Blok Borneo Warisan caturan terdesak cari talian hayat’ – Aksyah

August 10, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Hasrat Parti Warisan (Warisan) membentuk Blok Borneo menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) disifatkan sebagai manipulasi politik dan caturan terdesak untuk mencari talian hayat ketika kedudukan parti itu dikatakan semakin mengecil.

Aktivis politik, Aksyah Nasrah, berkata cadangan berkenaan, termasuk usaha mengadakan rundingan awal dengan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), lebih sebagai langkah oportunis berbanding perjuangan tulen untuk kepentingan Sabah dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Katanya, usaha membentuk jajaran politik berpaksikan parti tempatan sememangnya baik, namun ia tidak seharusnya dijadikan alasan untuk mengangkat slogan ‘Sabah First’ atau ‘Sabah for Sabahans’ semata-mata bagi meraih sokongan politik.

“Pada saya, hasrat ini bukanlah bertujuan sebagai perjuangan suci untuk MA63, sebaliknya lebih kepada manipulasi dan caturan terdesak serta oportunis untuk mencari talian hayat kerana sedar Warisan sedang menuju ke arah kepupusan menjelang PRU16,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, pada Isnin.

Aksyah berkata, cubaan Warisan mendapatkan kerjasama STAR dan KDM juga menimbulkan persoalan kerana sebelum ini parti berkenaan sering menampilkan keyakinan untuk bergerak secara solo atas alasan mempunyai akar umbi dan sokongan rakyat yang kukuh.

Beliau mendakwa, sejarah pembentukan kerajaan Sabah selepas Pilihan Raya Umum (PRU) 2018 turut menunjukkan Warisan tidak pernah mampu membentuk kerajaan secara bersendirian, sebaliknya bergantung kepada sokongan wakil rakyat daripada parti lain selepas keputusan pilihan raya.

Berbeza dengan keadaan itu, katanya, kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, membina Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berasaskan konsensus, setiakawan dan kestabilan politik jangka panjang, yang menurutnya menjadi antara asas penting kepada kesinambungan pentadbiran negeri.

Aksyah turut mempersoalkan rekod pentadbiran Warisan sepanjang kira-kira dua tahun, khususnya dalam isu tuntutan 40 peratus hasil Sabah dan pelaksanaan MA63 yang kini menjadi antara agenda utama politik negeri.

Katanya, ketika Warisan mentadbir Sabah, pemberian khas interim kepada Sabah hanya sekitar RM53.4 juta, berbanding pentadbiran Hajiji yang berjaya melalui rundingan dengan Kerajaan Persekutuan sehingga jumlah pemberian khas meningkat kepada RM1.5 bilion.

“Fakta menunjukkan jalan perundingan berjaya membawa balik RM1.5 bilion. Dalam keadaan ini, rakyat boleh menilai sendiri siapa yang benar-benar berjaya,” katanya.

Pada masa sama, beliau mendakwa prestasi kewangan Sabah turut menunjukkan perbezaan ketara antara pentadbiran terdahulu dengan kerajaan GRS, dengan hasil negeri meningkat secara konsisten dan rizab kewangan negeri kini menghampiri RM9 bilion.

Aksyah berkata, keadaan itu berbeza dengan kedudukan rizab negeri sekitar RM4 bilion ketika pentadbiran Warisan yang diketuai Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengambil alih kerajaan sebelum menurun kepada kira-kira RM3 bilion ketika pentadbiran berkenaan berakhir.

Mengulas cadangan Blok Borneo, beliau berkata Sabah perlu berhati-hati agar percaturan politik sedemikian tidak melebarkan jurang persefahaman antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung, kerana kerjasama politik antara wilayah tidak semestinya bermaksud tunduk kepada mana-mana pihak.

Katanya, kekuatan Sarawak menerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) pula terbina daripada kesatuan parti tempatan dan disiplin politik yang kukuh, justeru formula itu tidak boleh ditiru secara mudah tanpa mengambil kira realiti politik Sabah.

Dalam isu air, elektrik dan jalan raya, Aksyah berkata pembangkang tidak seharusnya menjadikan kelemahan utiliti sebagai modal politik semata-mata kerana sebahagian masalah berkenaan asalah isu struktur yang diwarisi daripada pentadbiran terdahulu.

Beliau berkata kerajaan GRS kini cuba menangani masalah itu menerusi Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 dan reformasi syarikat berkaitan kerajaan (GLC), termasuk Sabah Development Bank (SDBank), Sabah International Petroleum (SIP) dan SMJ Energy, selain menyalurkan sumber kewangan bagi pembangunan loji rawatan air, rumah pam dan pembaikan jalan raya.

“Jajaran politik berpaksikan tempatan itu bagus, tetapi janganlah berlagak seperti seorang guru besar yang suci sekiranya tangan sendiri penuh dengan rekod kegagalan masa lalu. Rakyat Sabah hari ini sudah bijak menilai mana satu tindakan bertanggungjawab dan mana satu lakonan politik murahan,” katanya. – Info X