KOTA BELUD: Polis membuka kertas siasatan berhubung rakaman video dan beberapa gambar tular di media sosial yang memaparkan kejadian pergaduhan sehingga menyebabkan seorang individu cedera di daerah ini.
Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 5.30 petang, Sabtu lalu, dan polis kini sedang mengenal pasti individu yang terbabit serta mendapatkan keterangan saksi.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Belud, Asisten Superintendan Ahmad Fathie Md Salleh berkata, pihaknya sudah menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.
Katanya, siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca serta keadaan sebenar kejadian.
“Susulan laporan diterima, polis membuka kertas siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 323 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
“Polis turut menjalankan siasatan lanjut termasuk mengenal pasti individu yang terbabit serta mendapatkan keterangan saksi bagi melengkapkan siasatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Ahmad Fathie berkata, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau tuduhan serta menyebarkan maklumat yang belum disahkan.
Katanya, orang ramai juga diminta tidak menyebarkan semula rakaman video dan gambar berkaitan kerana dikhuatiri boleh menjejaskan serta mengganggu proses siasatan.
“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tampil memberikan kerjasama kepada polis bagi membantu siasatan.
“Siasatan akan dijalankan secara telus dan profesional berlandaskan undang-undang, manakala tindakan sewajarnya akan diambil berdasarkan hasil siasatan,” katanya.
Terdahulu, tular rakaman video seorang pemandu pelancong dipercayai diserang selepas menegur pengendali bot lain yang didakwa memberi makanan kepada monyet liar di tebing sungai, Sabtu lalu.
Kejadian berlaku di hadapan sekumpulan pelancong termasuk kanak-kanak sebelum dileraikan orang awam. – Info X