Search

Gaduh rakan sekerja, wanita ditahan

August 15, 2026

Info X Reporters

TAWAU: Perselisihan faham antara dua rakan sekerja di Hospital Tawau bertukar kecoh apabila seorang wanita didakwa menolak dan menendang rakannya sebelum melakukan ugutan jenayah.

Susulan kejadian itu, wanita berusia lingkungan 30-an berkenaan ditahan polis bagi membantu siasatan, manakala mangsa yang berusia lingkungan 20-an mengalami kesakitan pada bahagian badan.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh berkata, ketika kejadian, mangsa sedang berada di bilik rehat sebelum didatangi suspek yang dikenalinya.

Katanya, suspek dipercayai meninggikan suara terhadap mangsa susulan perselisihan faham antara mereka.

“Suspek kemudiannya didakwa menolak dan menendang mangsa sehingga menyebabkan mangsa mengalami kesakitan pada bahagian badan.

“Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau menahan suspek bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.

Beliau berkata, polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Rosdi turut menasihatkan orang ramai supaya tidak bertindak melulu atau menggunakan kekerasan apabila berlaku perselisihan faham.

Katanya, sebarang pertikaian di tempat kerja perlu diselesaikan menerusi saluran yang betul termasuk melaporkannya kepada penyelia atau ketua masing-masing tanpa melibatkan ugutan atau kekerasan. – Info X