Search

Rusdin kekal komited khidmat kepada rakyat, kestabilan kerajaan negeri – Armizan

August 15, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Satu-satunya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Datuk Rusdin Riman kekal menyokong kestabilan kerajaan negeri pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Memaklumkan perkara itu, Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata sokongan itu dinyatakan sendiri ADUN Paginatan itu ketika dihubunginya pada Sabtu.

Katanya, beliau menghubungi Rusdin selepas pemangku Presiden KDM, Pricella Peter mengumumkan penamatan kerjasama KDM dengan GRS sebagai langkah memulihkan kekuatan parti.

“Susulan pengumuman Pemangku Presiden KDM, saya berkesempatan berhubung dengan YB Datuk Rusdin Riman, ADUN Paginatan yang juga ADUN tunggal KDM.

“Menurutnya, komitmen beliau adalah khidmat kepada masyarakat yang beliau wakili dan kestabilan Kerajaan Negeri untuk meneruskan agenda pembangunan untuk rakyat.

“Beliau juga turut bersama dalam satu acara yang melibatkan ADUN-ADUN Kerajaan pagi tadi di Kota Kinabalu,” katanya menerusi satu kenyataan di Facebook pada Sabtu.

Armizan menjelaskan, KDM bukan parti komponen GRS, namun selepas Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) pada November tahun lalu, parti itu melalui ADUN tunggalnya menyatakan sokongan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Terdahulu, Pricella mengumumkan keputusan KDM menarik diri daripada kerjasama GRS sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Katanya, keputusan itu dipersetujui sebulat suara Majlis Tertinggi KDM bagi membolehkan parti berkenaan bergerak mengikut kehendaknya di luar GRS.

Beliau mengakui keputusan itu sesuatu yang berat, tapi perlu dilaksanakan bagi mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap KDM dan menunjukkan yang KDM mempunyai hala tuju masa depannya.

“Apa yang berlaku selepas pilihan raya lalu telah menyebabkan kerosakan terhadap asas parti kita dan gerakan yang kita buat hari ini, keputusan ini, untuk menunjukkan bahawa ia dibuat bukan apabila tiba pilihan raya.

“Kita perlu mengambil tindakan dan menarik semula kepercayaan daripada akar umbi supaya rakyat tidak melihat parti kita bertindak hanya pada masa piluhan raya, apabila Parlimen dibubarkan,” katanya pada sidang media selepas majlis perjumpaan tahunan KDM bagi menjelaskan hala tuju baharu parti itu, di Papar.

Berikutan keputusan itu, katanya mana-mana pemimpin KDM yang memegang jawatan dalam kerajaan pimpinan GRS mungkin tertakluk kepada protokol perjawatan kerajaan, termasuk kemungkinan meletak jawatan. – Info X