Search

Lelaki maut dalam kemalangan membabitkan bas

August 16, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya terbabit kemalangan dengan sebuah bas ketika dipercayai keluar dari jalan susur untuk membuat pusingan U di Jalan Tuaran berhampiran sebuah stesen minyak di Likas, awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 1.25 pagi itu, mangsa warga Indonesia berusia 46 tahun mengalami kecederaan parah sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth II (HQE II).

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Shahrudin Mat Husain berkata, kemalangan membabitkan Perodua Viva dipandu mangsa dan sebuah bas dipandu lelaki berusia 34 tahun.

Katanya, siasatan awal mendapati mangsa yang datang dari arah Inanam dipercayai keluar dari jalan susur untuk membuat pusingan U.

“Ketika itu, sebuah bas sedang bergerak lurus dari arah pusat bandar raya Kota Kinabalu menuju ke Inanam sebelum berlaku perlanggaran.

“Bas berkenaan melanggar bahagian sisi kiri Perodua Viva menyebabkan kenderaan itu terseret kira-kira 15 meter,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, mangsa yang mengalami kecederaan parah dibawa ke Jabatan Kecemasan dan Trauma HQE II sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan kira-kira jam 3.50 pagi.

“Bedah siasat akan dijalankan di Jabatan Perubatan Forensik HQE I selepas waris mangsa dikesan. Polis sedang mengesan saksi bebas bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya.

Operasi di lokasi kejadian turut dibantu pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit di dalam kenderaan. – Info X