KOTA KINABALU: Bukan sekadar berlari sejauh 15 kilometer, warga Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sabah turut perlu melepasi 12 halangan sebelum menguji kemahiran menembak pistol dalam Ujian Kecergasan dan Ketahanan Fizikal (Mara Lasak 1.0) JSJN Sabah 2026.
Program yang berlangsung pada 15 Ogos lalu itu menghimpunkan pegawai dan anggota JSJN dari seluruh daerah di Sabah bagi menguji tahap kecergasan, ketahanan mental, disiplin serta semangat berpasukan.
Ketua JSJN Sabah, Asisten Komisioner Alhusin Halil berkata, penganjuran Mara Lasak 1.0 bukan sekadar memberi penekanan terhadap kemampuan fizikal, malah menjadi medan membentuk kekuatan mental dan kesiapsiagaan warga jabatan dalam menghadapi cabaran tugas.

Menurutnya, tugas membanteras jenayah narkotik menuntut pegawai dan anggota sentiasa berada pada tahap kecergasan terbaik selain memiliki ketahanan mental tinggi bagi berdepan ancaman serta modus operandi sindiket dadah yang semakin kompleks.
“Dalam kehidupan seharian, apabila kita berhadapan dengan kesukaran, ingat bagaimana kita menamatkan cabaran ini. Satu langkah, satu halangan, satu demi satu sehingga sampai ke garisan penamat.
“Begitulah juga perjuangan kita memerangi dadah. Perjuangan ini mungkin panjang dan kemenangan tidak datang dengan mudah. Sindiket terus berubah, taktik mereka semakin licik dan ancaman semakin kompleks.

“Namun, seperti sebuah perlumbaan, kita tidak boleh berhenti di tengah jalan. Selagi ada langkah yang mampu diteruskan, perjuangan mesti diteruskan,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan Ujian Kecergasan & Ketahanan Fizikal (Mara Lasak 1.0) JSJN Sabah, semalam.
Mara Lasak 1.0 membabitkan tiga cabaran utama iaitu larian sejauh 15 kilometer, merentasi 12 halangan serta ujian kemahiran menembak pistol yang perlu diharungi peserta.

Dalam pertandingan itu, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Lahad Datu muncul juara, diikuti JSJN Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah sebagai naib juara, manakala BSJND Tawau menduduki tempat ketiga.
Program berkenaan turut menjadi platform memperkukuh semangat kebersamaan dan kerja berpasukan dalam kalangan warga JSJN Sabah, selain memastikan setiap pegawai dan anggota sentiasa bersedia dari aspek fizikal serta mental dalam melaksanakan tugas membanteras dadah.

Mara Lasak 1.0 membawa mesej bahawa perjuangan memerangi dadah memerlukan ketahanan, disiplin dan semangat yang tidak mudah menyerah selaras dengan tekad JSJN Sabah, “Perangi Dadah, Lindungi Generasi.” – Info X