KOTA KINABALU: Pengurusan trafik di bandar raya ini perlu dinaik taraf, termasuk melalui pelaksanaan sistem lampu isyarat pintar berasaskan AI, seperti yang dilaksanakan Perbadanan Putrajaya di Semenanjung.
Menyuarakan perkara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Likas, Tham Yun Fook, berkata sistem pengurusan trafik sedia ada di bandar raya Kota Kinabalu perlu dinilai semula bagi meningkatkan keberkesanannya.
Sambil merakamkan rasa dukacita dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang terlibat dalam kemalangan maut di Likas pada awal pagi Ahas (16 Ogos), beliau mahu insiden seumpama itu dijadikan peringatan dalam menamvah baik sistem pengurusan trafik sedia ada.

“Kemalangan itu sekali lagi mengingatkan kita bahawa isu keselamatan jalan raya dan pengurusan trafik di Kota Kinabalu perlu diberikan perhatian yang lebih serius. Siasatan pihak polis masih berjalan dan kita tidak seharusnya membuat kesimpulan awal mengenai punca kemalangan.
“Namun, kejadian seperti ini wajar menjadi pencetus kepada kita untuk menilai semula sama ada sistem pengurusan trafik yang digunakan di Kota Kinabalu hari ini benar-benar seiring dengan keperluan sebuah bandar raya yang semakin berkembang.
“Sudah tiba masanya Kota Kinabalu mempertimbangkan pelaksanaan sistem lampu isyarat pintar berasaskan AI, seperti yang sedang dilaksanakan oleh Perbadanan Putrajaya,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata Putrajaya kini sedang beralih kepada sistem pengurusan trafik berasaskan AI yang menggunakan kamera Video Analytics untuk mengesan jumlah dan jenis kenderaan serta mengukur panjang barisan kenderaan.
Sistem itu, katanya boleh melaraskan tempoh lampu hijau berdasarkan keadaan trafik semasa dan menganalisis corak trafik.
“Malah, Perbadanan Putrajaya menyatakan bahawa 132 daripada 141 persimpangan lampu isyarat di Putrajaya telah dilengkapi sistem pintar, dengan baki persimpangan sedang dinaik taraf.
“Sistem ini juga bergerak ke arah integrasi kamera AI bagi pengiraan kenderaan masa nyata, pengesanan barisan serta pengesanan insiden,” katanya.
Beliau berkata, bagi Kota Kinabalu, ia juga perlu bergerak daripada pendekatan ‘lampu isyarat hanya bertukar mengikut masa yang ditetapkan’ kepada sistem yang mampu membaca keadaan trafik secara masa nyata dan bertindak mengikut keadaan sebenar di jalan raya.
Jelasnya, ia bukan bermaksud teknologi AI mampu menghapuskan semua kemalangan, tetapi teknologi seperti itu boleh membantu pihak berkuasa memahami aliran trafik dengan lebih baik, mengenal pasti lokasi berisiko, mengurus kesesakan dan dalam jangka panjang, meningkatkan tahap keselamatan pengguna jalan raya.
“Saya mencadangkan supaya DBKK, JKR bersama Kerajaan Negeri Sabah menjalankan kajian menyeluruh terhadap persimpangan-persimpangan kritikal di Kota Kinabalu, termasuk kawasan Likas, Inanam, Jalan Tuaran dan laluan-laluan utama yang sering mengalami kesesakan atau mempunyai rekod kemalangan.
“Kita tidak semestinya perlu melaksanakan sistem AI di seluruh Kota Kinabalu sekali gus. Mulakan dengan projek perintis di beberapa persimpangan kritikal, nilai keberkesanannya dan kemudian kembangkan ke kawasan lain,” katanya.
Tham berkata, Kota Kinabalu yang sedang berkembang sebagai pusat ekonomi Sabah yang pesat membangun nemerlukan pengurusan trafik bergerak daripada pendekatan konvensional kepada pengurusan trafik pintar, berasaskan data dan teknologi masa nyata.
“Jika benar seperti yang ditegaskan oleh Perdana Menteri bahawa Sabah tidak boleh dipinggirkan, maka prinsip itu mesti diterjemahkan melalui tindakan dan pembangunan yang nyata, bukan sekadar kata-kata.
“Jangan sampai kemajuan teknologi dan pembangunan infrastruktur pintar hanya tertumpu di Putrajaya dan bandar-bandar utama di Semenanjung, sedangkan Kota Kinabalu sebagai ibu negeri Sabah juga berdepan dengan kesesakan, pertambahan jumlah kenderaan, keperluan infrastruktur moden serta isu keselamatan jalan raya yang memerlukan penyelesaian segera.
“Kota Kinabalu juga adalah sebahagian daripada Malaysia dan juga sebuah wilayah yang memerlukan pembangunan serta pelaburan infrastruktur secara segera. Rakyat Sabah berhak menikmati kemudahan awam dan teknologi pengurusan bandar yang setanding dengan apa yang sedang dibangunkan di Putrajaya,” katanya.
Beliau berharap Kerajaan Negeri melalui JKR dan DBKK dapat melihat teknologi lampu isyarat AI bukan sekadar sebagai usaha mengurangkan kesesakan, tetapi sebagai sebahagian daripada strategi meningkatkan keselamatan jalan raya dan membina Kota Kinabalu sebagai sebuah bandar raya yang lebih selamat, cekap, pintar dan responsif. – Info X