Search

Pesaing tarik diri, jawatan tertinggi Pemuda PBS menang tanpa tanding

August 18, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Jawatan tertinggi Pemuda Parti Bersatu Sabah (PBS) dimenangi tanpa bertanding sebelum pemilihan parti pada September depan selepas calon pesaing membuat keputusan menarik diri.

Menerusi satu kenyataan, di sini, jawatan Ketua Pemuda PBS kekal disandang Datuk Dr Christopher Mandut, selepas pesaingnya, Dr Rockey Jerome Budin menarik diri daripada bertanding jawatan itu.

Mengulas keputusan itu, Rockey berkata ia dibuat selepas mengambil kira pelbagai aspek dan pertimbangan mendalam demi kepentingan perpaduan serta masa depan PBS.

Katanya, peralihan kepemimpinan parti memerlukan sokongan padu ahli bagi memberi ruang kepada presiden dan barisan kepemimpinan baharu untuk menstabilkan parti, merapatkan saf serta memperkukuhkan organisasi.

“Saya percaya kita harus memberi peluang penuh kepada pucuk pimpinan baharu untuk mengukuhkan asas parti, merapatkan saf dan menstabilkan pentadbiran tanpa sebarang gangguan dalaman,” katanya.

Rockey berkata keputusan itu turut mengambil kira keperluan PBS untuk memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap persediaan menghadapi PRU akan datang.

Sehubungan itu, Rockey berkata beliau berlapang dada memberi laluan sepenuhnya kepada Christoper untuk terus menerajui kepemimpinan Pemuda PBS.

Selain jawatan ketua, beberapa jawatan tertinggi lain turut dimenangi tanpa bertanding selepas calon lain yang menawarkan diri bagi jawatan dalam barisan kepemimpinan Pemuda PBS turut menarik diri bagi memberi laluan kepada penyandang serta pemimpin lain yang untuk mengisi jawatan.

Bagi jawatan Timbalan Ketua Pemuda, Pegawai Penerangan Pemuda PBS, Steve Johnny Mositun, mengambil keputusan menarik diri bagi memberi laluan kepada Stanley Leo untuk menang tanpa bertanding.

Satu lagi jawatan Timbalan Ketua Pemuda PBS bagi kuota Bumiputera Islam turut dimenangi tanpa bertanding oleh Naib Ketua Pemudanya, Mohd Khairol Majde selepas Setiausaha Pemuda PBS Kepayan, Adlu Shah menarik diri.

Jawatan Naib Ketua Pemuda PBS bagi kuota Bumipura bukan Islam pula menyaksikan EXCO Pemudanya, Rainy Valentine menarik diri daripada pertandingan bagi memberi laluan kepada rakan beliau dalam barisan Exco Pemuda, Kevin Jon Johnny, untuk menang tanpa bertanding.

Mengulas perkembangan itu, Christoper berkata ia mencerminkan semangat kesatuan dan sikap mendahulukan kepentingan parti yang kuat dalam jiwa pemimpin Pemuda PBS.

“Proses pemilihan parti tidak seharusnya meninggalkan jurang atau kelompok yang boleh melemahkan perjuangan PBS, sebaliknya semua pihak perlu kembali bergerak sebagai satu pasukan di bawah kepimpinan Presiden PBS.

“Tiada lagi Team Christoper atau Team Rockey, tetapi kita adalah Team Presiden PBS yang akan memimpin parti kita seterusnya,” katanya.

Beliau berkata semangat kesatuan penting dalam memastikan Pemuda PBS kekal sebagai sebuah sayap yang kukuh dan mampu memainkan peranan utama dalam memperkasakan parti serta mempersiapkan jentera menghadapi cabaran politik akan datang. – Info X