PENAMPANG: Teguran terhadap seorang lelaki yang menunggang motosikal dengan bunyi enjin kuat bertukar menjadi pergaduhan sehingga menyebabkan tiga lelaki cedera di Kampung Muhibbah, Petagas di sini, malam tadi.
Kejadian kira-kira jam 9.30 malam itu dipercayai tercetus selepas seorang daripada mangsa menegur suspek yang juga jirannya ketika melalui kawasan berkenaan dengan motosikal.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai pergaduhan membabitkan sekumpulan individu yang sedang berkumpul dan bermain karom di luar sebuah rumah.
Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek berusia 37 tahun melalui kawasan itu dengan menunggang motosikal dan menghasilkan bunyi enjin yang kuat.
“Seorang daripada mangsa kemudian menegur suspek sebelum berlaku pertengkaran yang kemudiannya bertukar menjadi pergaduhan.
“Dalam kejadian itu, tiga lelaki berusia antara 35 hingga 40 tahun mengalami kecederaan akibat penggunaan objek tajam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sammy berkata, semua mangsa mendapatkan rawatan di Hospital Queen Elizabeth (HQE), Kota Kinabalu dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
Katanya, susulan kejadian, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang bersama Balai Polis Putatan menahan suspek di sebuah kampung di Putatan kira-kira jam 10 malam.
“Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku secara spontan akibat salah faham dan ketidakpuasan hati suspek selepas ditegur berhubung bunyi motosikal.
“Setakat ini, tiada rekod perselisihan atau dendam terdahulu antara suspek dengan mangsa,” katanya.
Beliau berkata, siasatan lanjut masih diteruskan termasuk mengambil keterangan beberapa saksi dan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian bagi melengkapkan kertas siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan kertas siasatan akan dirujuk kepada pihak pendakwaan untuk tindakan selanjutnya.
“Polis turut menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat tidak sahih atau memuat naik imej serta video kejadian yang boleh mengganggu siasatan dan menimbulkan kegusaran masyarakat,” katanya. – Info X