Search

Skuad pencak silat Sabah tamat cabaran dengan 2 emas, 2 perak, 3 gangsa

August 20, 2026

Info X Reporters

SUBANG JAYA: Skuad pencak silat Sabah menamatkan cabaran pada SUKMA XXII Selangor 2026 dengan pencapaian dua pingat emas, dua perak dan tiga gangsa selepas menambah satu emas pada hari terakhir pertandingan, hari ini.

Pingat emas terakhir Sabah disumbangkan Lelone Romzie menerusi acara Tanding Putera Kelas C (55-60 kilogram) selepas menewaskan pesilat Wilayah Persekutuan, Awangku Muhammad Hazhan, 23-12 pada aksi final di Dewan Seri Sarjana, UNITEN, Kajang.

Sebelum itu, emas pertama Sabah disumbangkan gandingan Manjaseerah Manuil, Sherlenna Abdullah dan Fiffy Ferlisa Rien dalam acara Seni Regu Wanita.

Dua pingat perak pula dimenangi Roslyana Rustam dalam acara Seni Tunggal Puteri dan Roslan Habil menerusi Solo Kreatif Putera.

Sabah turut meraih tiga pingat gangsa menerusi trio Mohammad Syafwan, Muhammad Darmadiansyah dan Mohammad Nazir dalam acara Seni Regu Putera, Mohammad Faris Hakimi (Tanding Putera Kelas J, 90-95kg) serta Raziq Rifqi (Tanding Putera Bawah 45kg).

Bagaimanapun, pencapaian berkenaan gagal memenuhi sasaran lima pingat emas yang ditetapkan selain tidak dapat mengulangi pencapaian empat emas pada SUKMA Sarawak 2024.

Yang Dipertua Persatuan Seni Silat PESAKA Sabah (PSS Pesaka Sabah), Datuk Alijus Sipil, berkata pihaknya agak kecewa kerana sasaran ditetapkan tidak tercapai, namun pengalaman yang diraih pesilat muda Sabah sepanjang kejohanan perlu dilihat sebagai perkara positif.

“Agak kecewa juga kerana gagal mencapai sasaran tetapi di sebaliknya ada perkara lebih penting untuk dilihat iaitu pelajaran dan pengalaman.

“Bagaimanapun, dua pingat emas yang dimenangi juga membanggakan kerana mereka sebenarnya bukan sandaran utama,” katanya ketika dihubungi.

Alijus berkata kegagalan mencapai sasaran bukan semata-mata disebabkan prestasi pesilat yang menjadi sandaran utama, sebaliknya peningkatan kualiti pesilat negeri lain turut memberi kesan kepada pencapaian Sabah.

“Kita gagal capai sasaran bukan hanya kerana yang menjadi sandaran utama tidak berjaya tetapi kita juga melihat pesilat negeri lain menunjukkan peningkatan kualiti yang ketara.

“Sebab itu, kami akan buat post-mortem dan seterusnya merancang apa yang patut dilakukan. Kami juga akan terus menggandakan usaha latihan terutama majoriti pesilat kita kali ini masih boleh beraksi pada SUKMA akan datang,” katanya.

Dalam pada itu, Alijus berkata antara pendekatan baharu yang sedang dipertimbangkan ialah mencadangkan kepada Majlis Sukan Negeri (MSN) Sabah supaya mendapatkan khidmat jurulatih dari luar negara.

“Selama ini kita hanya bergantung kepada jurulatih tempatan. Mungkin sudah sampai masanya untuk kita memikirkan pendekatan baharu dengan menggunakan jurulatih luar negara.

“Saya fikir jurulatih luar yang sesuai adalah dari Tarakan, Indonesia. Saya dimaklumkan bahawa jurulatih dari Tarakan banyak membantu pesilat Indonesia berjaya di peringkat antarabangsa,” katanya.

Menurutnya, kedudukan Tarakan yang berhampiran dengan Sabah juga memberi kelebihan dari segi logistik selain memudahkan atlet dihantar ke sana untuk menjalani latihan dan mendapatkan pendedahan pertandingan.

“Tarakan juga dekat dengan kita. Ini akan memudahkan kita menghantar atlet ke sana untuk latihan dan pendedahan pertandingan,” katanya.-Info X