Search

Sambutan Hari Sabah tekankan peranan generasi muda sebagai pewaris negeri

August 20, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Sambutan Hari Sabah selepas acara Hari Kebangsaan peringkat negeri di Dataran Bandaraya pada 31 Ogos ini memberi penekanan kepada golongan belia dan generasi muda sebagai pewaris masa depan negeri.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata sambutan pada sebelah malam yang turut diadakan di Dataran Bandaraya Kota Kinabalu itu bukan saja menjadi ruang untuk mengenang perjalanan sejarah negeri ini.

Katanya, sambutan itu turut membina keyakinan bahawa generasi muda Sabah mempunyai peranan yang besar dalam menentukan hala tuju negeri pada masa hadapan.

“Hari Sabah telah diisytiharkan secara rasmi pada 5 Jun 2024 dengan menetapkan 31 Ogos sebagai Hari Sabah. Maka, tahun 2026 merupakan tahun ketiga Hari Sabah diraikan secara rasmi bersama-sama sambutan Hari Kebangsaan.

“Sambutan ini bukan sekadar acara tahunan. Ia merupakan kesempatan untuk kita menghayati sejarah, menghargai perjuangan generasi terdahulu dan pada masa yang sama melihat ke hadapan dengan keyakinan terhadap masa depan Sabah dalam Malaysia,” katanya pada sidang media sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah, di sini, pada Khamis.

Masidi yang juga Menteri Kewangan negeri, berkata pada pagi 31 Ogos, sambutan Hari Kebangsaan akan berlangsung di Dataran Bandaraya Kota Kinabalu, melibatkan kontinjen daripada agensi kerajaan, pasukan beruniform, sekolah, persatuan dan pelbagai organisasi.

Setakat ini, katanya sebanyak 180 kontinjen telah memohon untuk mengambil bahagian dalam perbarisan dan perarakan berjalan lalu yang akan bermula seawal jam 6 pagi.

“Penyertaan yang begitu besar ini mencerminkan semangat patriotisme dan kebersamaan rakyat Sabah dalam meraikan hari yang bersejarah ini.

“Pada sebelah malam pula, tumpuan akan beralih kepada Sambutan Hari Sabah, dengan pengisian yang memberi penekanan kepada golongan belia dan generasi muda sebagai pewaris masa depan negeri.

“Konsep sambutan malam tersebut adalah untuk melihat ke hadapan. Kita mahu Hari Sabah bukan sahaja menjadi ruang untuk mengenang perjalanan sejarah negeri ini, tetapi turut membina keyakinan bahawa generasi muda Sabah mempunyai peranan yang besar dalam menentukan hala tuju negeri pada masa hadapan,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah itu, berkata tema sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026, ‘Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati’ membawa mesej pembangunan negara akhirnya mesti diterjemahkan kepada manfaat dan kesejahteraan yang benar-benar dapat dirasai oleh rakyat.

Dalam konteks Sabah, katanya kesejahteraan bukan hanya bermaksud pembangunan fizikal, malah juga peluang pekerjaan yang lebih baik, pendidikan yang berkualiti, pertumbuhan ekonomi, kemudahan asas yang mencukupi, keselamatan, perkhidmatan awam yang cekap serta kehidupan masyarakat yang aman dan harmoni.

“Pada masa yang sama, Hari Sabah memberi ruang kepada kita untuk memahami dengan lebih mendalam sejarah negeri ini dan perjalanan pembentukan Malaysia.

“Memahami sejarah bukan bermaksud kita hanya melihat ke belakang, tetapi supaya kita lebih menghargai apa yang telah dicapai dan memahami tanggungjawab kita untuk menentukan apa yang mahu dicapai selepas ini.

“Sebab itu saya mahu generasi muda Sabah mengenali sejarah negeri dan negara mereka. Tetapi lebih penting, mereka tidak seharusnya menjadi sekadar penonton kepada pembangunan. Mereka mesti diberikan ruang dan peluang untuk menjadi peserta, penyumbang dan akhirnya penggerak kepada masa depan Sabah,” katanya.

Masidi turut menekankan kepentingan untuk terus mempertahankan kekuatan terbesar Sabah, iaitu perpaduan dalam kepelbagaian.

Jelasnya, kepelbagaian kaum, agama, budaya dan latar belakang masyarakat Sabah bukan sesuatu yang memisahkan, sebaliknya aset yang menyatukan dan memperkayakan negeri ini.

Beliau menjemput rakyat Sabah tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang untuk sama-sama meraikan kedua-dua sambutan bersejarah itu.

“Bagi pihak Kerajaan Negeri Sabah, saya dengan sukacitanya menjemput seluruh rakyat Sabah, tanpa mengira usia, kaum, agama atau latar belakang, untuk bersama-sama hadir memeriahkan Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah pada 31 Ogos ini.

“Jadikanlah sambutan ini bukan sahaja sebagai satu perayaan, tetapi sebagai kesempatan untuk kita menghayati erti kemerdekaan, menghargai sejarah serta memperkukuh perpaduan sesama kita,” katanya.

Masidi turut merakamkan penghargaan kepada semua kementerian, jabatan, agensi kerajaan, pasukan keselamatan, pihak berkuasa tempatan, sukarelawan, peserta kontinjen dan rakan media atas kerjasama menjayakan sambutan berkenaan pada tahun ini.

“Marilah kita bersama-sama menjadikan 31 Ogos 2026 satu sambutan yang mencerminkan keyakinan kita terhadap masa depan Sabah, semangat perpaduan rakyat serta kecintaan kita kepada negeri dan negara,” katanya. – Info X