KOTA KINABALU: Tindakan tokoh nasional tertentu cuba memutar belit semangat sebenar pembentukan Malaysia dengan beranggapan Sabah dan Sarawak sebagai wilayah yang perlu dikawal dilihat sesuatu yang mengecewakan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Sibuga, Lisa Hassan Alban, berkata apabila ada pihak yang menuntut ‘kuasa pusat yang kuat’ untuk menghalang wilayah daripada ‘memisahkan diri’, mereka bukan saja memesongkan sejarah, malah cuba menormalisasi budaya takut dan kawalan mutlak.
Beliau menjelaskan, Malaysia tidak pernah ditubuhkan untuk Semenanjung memerintah Sabah dan Sarawak seperti tertera dengan jelas dalam Suruhanjaya Cobbold dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC), sebaliknya pembentukan Malaysia adalah satu perkongsian.
“Ia merupakan satu proses dekolonisasi yang bertujuan untuk membantu Sabah dan Sarawak mencapai penentuan nasib sendiri, bukan untuk menukar satu penjajah dengan penjajah yang lain,” katanya dalam satu maklum balas terhadap kenyataan dibuat bekas menteri Persekutuan, Datuk Zaid Ibrahim.
Lisa menegaskan, untuk menyamakan Persekutuan Malaysia yang dibentuk secara sukarela dengan konflik Taiwan-China adalah sangat tidak masuk akal.
“Kita bukan wilayah pemberontak akibat perang saudara; kita adalah rakan kongsi pengasas yang berstatus sama rata. Selain itu, menggunakan sejarah Singapura sebagai alasan untuk mengancam Sabah dan Sarawak adalah tindakan yang sangat mengelirukan.
“Singapura tidak memisahkan diri secara haram atau memberontak; perpisahan mereka adalah satu pemisahan sah dan dipersetujui bersama yang diluluskan oleh Parlimen Malaysia,” katanya.
Pemimpin Parti Warisan itu menegaskan, apabila rakyat Sabah menuntut hak mereka, sama ada hak hasil kewangan yang termaktub dalam perlembagaan, infrastruktur yang lebih baik atau sekadar keadilan asas, ia tidak menjadikan mereka musuh negara.
Sebaliknya, beliau berkata, rakyat Sabah hanya meminta kerajaan persekutuan untuk mengotakan janji-janji asas yang membolehkan negara ini ditubuhkan.
”Melabelkan tuntutan sah kita sebagai satu pemberontakan yang perlu dihancurkan oleh ‘kuasa pusat yang kuat’ adalah satu pengkhianatan kepada aspirasi rakyat.
“Rakyat Sabah akan terus berdiri teguh mempertahankan perjanjian asal yang menyatukan kita dan kita tidak akan tunduk kepada pihak yang cuba menulis semula sejarah demi menghalalkan pemusatan kuasa yang melampau,” katanya. – Info X