KAJANG: Pemanah muda Sabah, Evan Rich Chong Qi Wei, muncul penyumbang terbaharu kontinjen negeri itu apabila menghadiahkan pingat emas ke-13 menerusi acara recurve perseorangan lelaki pada Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026, hari ini.
Beraksi di Stadium Institut Penilaian Negara (INSPEN), pemanah berusia 18 tahun itu menampilkan aksi meyakinkan apabila menewaskan wakil tuan rumah, Muhammad Irfan Hilmi, 7-1 pada perlawanan akhir.
Kemenangan itu melengkapkan kempen cemerlang Evan yang bermula pada pusingan 16 terbaik apabila menewaskan Harith Anas dari Kelantan, 6-0.
Beliau kemudian meneruskan momentum dengan menundukkan Rafi’i Zaidi dari Kedah, 6-2 pada pusingan suku akhir.
Evan sekali lagi tampil konsisten di suku akhir apabila menewaskan Muhammad Amirul Haziq dari Pahang, 7-1 sebelum menyingkirkan seorang lagi wakil Pahang, Muhammad Haiqal Danish, 6-2 pada separuh akhir untuk mengesahkan tiket ke perlawanan akhir.
Sementara itu, satu lagi harapan emas Sabah menerusi Catherine Looi Mei Qi tidak kesampaian apabila dia tewas tipis 142-143 kepada Puteri Qaira Qistina dari Perak dalam final compound perseorangan wanita.
Catherine terpaksa berpuas hati dengan pingat perak, namun ia tetap menjadi pingat keduanya pada temasya kali ini selepas memenangi emas acara pusingan kelayakan compound 50 meter wanita, Isnin lalu.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif (KBSK) Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan dan Setiausaha Tetap KBSK merangkap Chef de Mission kontinjen Sabah, Datuk Mansur Asun, turut hadir memberikan sokongan kepada atlet negeri itu.
Sehingga petang ini, skuad memanah Sabah sudah menyumbang dua emas, satu perak dan satu gangsa.
Pingat gangsa disumbangkan Quik Chern Xin menerusi acara recurve 70 meter lelaki, semalam.
Secara keseluruhan, Sabah kini mengumpul 13 emas, 12 perak dan 17 gangsa untuk berada di kedudukan kesembilan daripada 15 kontinjen bertanding.
Kutipan pingat Sabah turut diperkukuh pingat perak menerusi Nur Syifa Raisha Adnan dalam acara 800 meter wanita serta tujuh lagi gangsa yang dimenangi atlet negeri itu hari ini.
Selangor masih mendahului kedudukan pungutan pingat dengan 38 emas, diikuti Terengganu dengan 31 emas dan Wilayah Persekutuan yang mengumpul 29 emas.
SUKMA XXII Selangor 2026 yang akan melabuhkan tirai pada 24 Ogos ini menawarkan keseluruhan 468 pingat emas menerusi 37 jenis sukan.
Sabah menyasarkan 40 pingat emas daripada penyertaan dalam 36 jenis sukan pada temasya kali ini.- Info X
Kredit foto : MSN Sabah