Search

AWCL: Sabah diasak Rajshahi Stars dari Bangladesh sebelum menang tipis 2-1

August 20, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Sabah FA berdepan saingan sengit Rajshahi Stars FC dari Bangladesh untuk menang tipis 2-1 pada perlawanan keempat Peringkat Awal Liga Juara-Juara Wanita AFC (AWCL) 2026/2027 bagi Kumpulan A di Stadium Likas, di sini, malam ini.

Kedua-dua gol Sabah itu dijaringkan penyerang importnya, Enzi Hekima Starks Broussard, masing-masing pada minit ke-41 dan minit ke-79.

Rajshahi Stars pula berjaya menjaringkan gol menerusi penyerang gantiannya, Most Sultana pada minit ke-86 sekali gus merapatkan jaringan dengan Sabah pada minit-minit akhir permainan.

Permainan kedua-dua pasukan keseluruhannya kelihatan agak seimbang dengan masing-masing saling bertukar serangan balas sebelum jaringan muncul pada minit-minit akhir kedua-dua babak.

Separuh masa kedua turut menyaksikan rentak permainan kedua-dua pasukan agak agresif, namun tidak banyak berbeza berbanding aksi babak pertama, namun tiada jaringan sehinggalah pada minit ke-79.

Menjelang minit-minit akhir perlawanan itu, Enzi Hekima berjaya melepasi benteng pertahanan Rajshahi Stars sebelum berdepan satu lawan satu dengan penjaga gol lawan, Rupna Chakma dan meleretkan bola ke arah gawang untuk gol kedua Sabah.

Namun, Rajshahi Stars turut berpeluang mencipta gol tunggal pada minit ke-86, untuk merapatkan jaringan dengan Sabah.

Dengan keputusan itu, Sabah FA kini berada di kedudukan kedua selepas East Bengal FC dari India yang menang besar 12-0 ke atas Rovers FC dari Guam petang tadi.

East Bengal menewaskan Rajshahi Stars 4-0 pada perlawanan pertama Kumpulan A, Isnin lalu, sekali gus memberi kelebihan kepada pasukan berkenaan untuk mendahului Kumpulan A dengan enam mata dan 16 jaringan.

Sabah FA pula mengumpul 15 jaringan dan satu bolos setakat malam ini, masing-masing menerusi kemenangan 13-0 ke atas Rovers FC pada Isnin lalu dan 2-1 ke atas Rajshahi Stars, malam ini.

Sabah FA bakal bertemu East Bengal FC dari India pada Ahad ini bagi penentuan juara Kumpulan A Peringkat Awal AWCL 2026/2027. – Info X