Search

144 PATI dihantar pulang ke negara asal

August 20, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Seramai 144 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia dihantar pulang ke negara asal menerusi Pelabuhan Tawau dalam Program Pemindahan Tahanan PATI, hari ini.

Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah dalam kenyataan malam ini memaklumkan, semua tahanan terbabit dipindahkan dari Depot Imigresen Kota Kinabalu, Papar dan Sandakan sebelum dibawa ke Pelabuhan Tawau.

“Mereka kemudian dihantar ke Pelabuhan Nunukan, Indonesia menggunakan feri komersial.

“Daripada jumlah itu, seramai 107 adalah lelaki dewasa, 26 wanita dewasa, empat kanak-kanak lelaki dan tujuh kanak-kanak perempuan berusia antara tiga hingga 68 tahun,” katanya.

Menurut kenyataan itu, semua kanak-kanak yang terbabit dalam program berkenaan turut diiringi ibu bapa atau pengiring masing-masing.

JIM Sabah berkata, setakat hari ini, seramai 4,750 tahanan PATI pelbagai kewarganegaraan sudah dipindahkan ke negara asal masing-masing sepanjang tahun ini.

“Jumlah itu membabitkan 3,008 warga Filipina, Indonesia (1,478), Pakistan (118), China (109), Vietnam (18) dan 19 tahanan daripada negara lain.

“Semua tahanan berkenaan sudah selesai menjalani hukuman mengikut peruntukan undang-undang ditetapkan serta memiliki Surat Perjalanan Laksana Pasport (SPLP) yang sah bagi membolehkan mereka mengikuti proses pemindahan ke negara asal,” katanya.

Dalam pada itu, JIM Sabah menyeru masyarakat supaya tidak bersekongkol melindungi atau menggaji PATI serta melaporkan sebarang kegiatan berkaitan kepada saluran rasmi jabatan. – Info X